Berkenan rasmi masjid baru Kulapis

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid berkenaan.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi menandatangani plak perasmian masjid tersebut diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.

Khutbah Jumaat pertama di masjid tersebut telah disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Selesai khutbah disampaikan, diteruskan lagi dengan Sembahyang Fardu Jumaat yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama kerabat diraja lainnya berkenan dijunjung bergambar ramai di perkarangan masjid baru Kampung Kulapis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama kerabat diraja lainnya berkenan dijunjung bergambar ramai di perkarangan masjid baru Kampung Kulapis.

ATAS/BAWAH: Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat diraja yang lain ke Masjid Pehin Khatib Abdullah.
ATAS/BAWAH: Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat diraja yang lain ke Masjid Pehin Khatib Abdullah.

Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis ini merupakan wakaf daripada sebuah keluarga sebagai tanda kenangan kepada Kampung Kulapis dan dibina di atas sebidang tanah kerajaan berkeluasan lima ekar.

Pembinaan Masjid Pehin Khatib Abdullah ini bermula pada 14 September 2015 diikuti dengan majlis mendirikan tiang seri masjid tersebut pada 13 November 2015. Ia siap sepenuhnya pada 1 Mei lalu dan majlis serah terima bangunan telah diadakan pada 15 Mei.

Masjid ini boleh menampung seramai lebih kurang 700 orang jemaah dengan kemudahan yang disediakan termasuklah ruang sembahyang utama lelaki, ruang sembahyang perempuan, bilik imam dan bilal, bilik stor, dapur, bilik bacaan, bilik mesyuarat, bilik serba guna, tempat letak kereta, tandas dan tempat berwuduk bagi jemaah lelaki dan perempuan berasingan serta bilik pengurusan jenazah.

Pembukaan masjid ini diharap akan dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan para jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang fardu Jumaat di kawasan tersebut.

Masjid ini juga dihasratkan dapat digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Kulapis secara khususnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya.