Berkenan rasmi Pesta Konvo UBD

Berkenan rasmi Pesta Konvo UBD

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan dan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri serta Pro Canselor UBD hari ini berkenan berangkat merasmikan Pesta Konvo Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Learning Commons, Perpustakaan UBD.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta besar ke Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli Majlis UBD, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan kakitangan UBD.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Duli Pengiran Muda Mahkota kemudiannya dijunjung menyampaikan sabda perasmian dan menyempurnakan perasmian bagi Pesta Konvo 2016 UBD, dan seterusnya dijunjung berangkat untuk menyaksikan pameran pelbagai projek dan hasil penyelidikan inovatif para pelajar UBD.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan sabda perasmian dan menyempurnakan perasmian bagi Pesta Konvo 2016 UBD.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan sabda perasmian dan menyempurnakan perasmian bagi Pesta Konvo 2016 UBD.

Antara projek-projek yang dipamerkan ialah gulintangan robotik, demonstrasi penjanaan bio elektrik daripada tumbuhan air, pemetaan Creative Industries, pirolisis sepsis Acacia untuk menghasilkan bio bahan api dan produk bio lain.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat bagi Majlis Santap Ringan sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Pesta Konvo 2016 yang diadakan selama dua minggu hingga 22 Oktober ini dianjurkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Office of Promotion and Events Management (OPEM) bertemakan ‘Kejayaan melalui Keharmonian, Ilmu Pengetahuan dan Daya Ketahanan’ digambarkan melalui pameran projek-projek mahasiswa-mahasiswi.

Acara-acara lain yang turut diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen pada tahun ini ialah Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Selamat yang akan diadakan pada 10 Oktober, acara Convo Run and Cycle pada 23 Oktober, Pertandingan Klip Video Islam untuk mahasiswa UBD, dan beberapa acara persembahan serta acara-acara kebudayaan.

Majlis Konvokesyen ke-28 dijadualkan akan berlangsung pada 15 Oktober 2016, di Dewan Canselor, UBD.

ARTIKEL YANG SAMA