Berkenan rasmikan Pesta Konvokesyen UNISSA

Berkenan rasmikan Pesta Konvokesyen UNISSA

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj (Pesta Konvokesyen) ke-6 UNISSA yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Majlis dan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Pengerusi Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan mengurniakan sabda perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA yang bertemakan ‘Kewangan dan Keusahawanan Islam Menjana Generasi Berdikari’ yang mana tema tersebut dipilih untuk menonjolkan sumbangan warga UNISSA khasnya Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam dalam merealisasikan gagasan Negara Zikir dan Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur menerusi pemartabatan bidang ‘kewangan Islam’ dan ‘keusahawanan Islam’.

Kedua-dua komponen ini dilihat berperanan penting untuk membentuk generasi akan datang sebagai penggerak dan pemangkin ekonomi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2035.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan bersabda merasmikan majlis berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan bersabda merasmikan majlis berkenaan.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menandatangani Plat Penjenamaan Semula Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan kepada Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menandatangani Plat Penjenamaan Semula Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan kepada Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam.
mengenai salah satu petak pameran pada majlis tersebut.
mengenai salah satu petak pameran pada majlis tersebut.
DYTM berkenan menyaksikan Galeri Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA.
DYTM berkenan menyaksikan Galeri Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menyaksikan Galeri Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA di Dewan Persidangan Utama dan seterusnya berkenan merasmikan pelancaran 26 buku terbaru terbitan UNISSA.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung untuk menandatangani Plat Penjenamaan semula Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan kepada Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) yang mana penjenamaan semula itu adalah sebagai satu sokongan dan usaha UNISSA bagi melahirkan tenaga manusia yang mempunyai kepelbagaian kemahiran dalam merealisasikan Wawasan 2035 iaitu menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi berdaya tahan.

Dalam pada itu, FEKIm juga mengorak langkah dengan menyediakan struktur program dan modul yang menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Islam, Sarjana Ekonomi Islam dan Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi Islam, di mana sejak penjenamaan semula itu jumlah kemasukan mahasiswa ke fakulti berkenaan telah meningkat kepada 48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berangkat menyaksikan galeri pameran yang disertai oleh beberapa buah agensi kewangan seperti Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD); Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM); Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai bersama warga kakitangan BIBD yang menyertai pesta konvokesyen tersebut.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai bersama warga kakitangan BIBD yang menyertai pesta konvokesyen tersebut.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama warga Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama warga Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Sebelum berangkat meninggalkan galeri pameran, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima pesambah daripada Dr. Haji Norarfan berupa Mushaf Al-Quran dengan kotak bersalut lapisan kulit dalam cengkerang kerang-kerangan yang didatangkan dari Republik Arab Mesir.

Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menyaksikan gerai jualan di Dewan Perpaduan yang juga dibukakan bagi kunjungan orang ramai sehingga 16 Oktober ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali hari Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang di mana sebanyak 28 buah petak jualan dan 100 unit kiub mempamerkan bermacam jenis jualan seperti makanan, minuman, pakaian dan bermacam-macam lagi.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat ke Majlis Santap.

Beberapa program telah disusun sepanjang Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA seperti pertandingan seni khat, aktiviti Ilmiah, forum-forum dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA