Berkenan sertai acara riadah berbasikal

Berkenan sertai acara riadah berbasikal

Oleh Syahmi Hassan & Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Suasana di ibu negara hari ini sangat meriah apabila semua lapisan masyarakat sama-sama menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 yang julung-julung kalinya diadakan dengan menggabungkan aspek gaya hidup sihat, rekreasi, dan juga mempromosikan pelancongan, dengan harapan untuk memupuk budaya sukan serta mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat dalam penglibatan ke arah gaya hidup sihat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara riadah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan itu yang bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah.

Keberangkatan Baginda Sultan telah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Baginda kemudiannya berkenan melepaskan beberapa belon khas diikuti dengan sebanyak 70 belon yang dilepaskan oleh 70 peserta menandakan bermulanya riadah berbasikal berkenaan bagi acara 15km dan 70km.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan ikut serta dalam acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan ikut serta dalam acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melancarkan Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan melancarkan Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
DYTM Pengiran Perdana Wazir dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah bersama anakanda-anakanda berkenan ikut serta dalam acara tersebut.
DYTM Pengiran Perdana Wazir dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah bersama anakanda-anakanda berkenan ikut serta dalam acara tersebut.

Acara berbasikal 15km telah disertai oleh Menteri-menteri Kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, tetamu undangan dan orang ramai termasuk warga asing.

Acara berbasikal 15km berkenaan telah meliputi jalan-jalan utama di Bandar Seri Begawan termasuk Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar, Lebuh Raya Sultan Hassanal Bolkiah, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh dan Jalan McArthur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menyaksikan ketibaan seramai 70 orang penunggang basikal yang terdiri daripada atlet-atlet basikal kebangsaan dan wakil daripada kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan serta dari persatuan-persatuan bagi acara berbasikal 70km. Nombor 70 berkenaan melambangkan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menerima pesambah yang disampaikan oleh salah seorang peserta daripada acara berbasikal 70km.

Sebelum berangkat pulang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan beramah mesra dengan para peserta dan orang ramai.

Keakraban dan kemesraan raja yang dikasihi dan penyertaan Baginda dalam aktiviti riadah seumpama itu dengan masyarakat dari semua lapisan masyarakat turut memeriahkan suasana, penuh dengan keharmonian.

Para peserta 70km tiba di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Para peserta 70km tiba di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Orang ramai seronok menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Orang ramai seronok menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Antara peserta cilik dan orang awam yang turut menyertai riadah itu.
Antara peserta cilik dan orang awam yang turut menyertai riadah itu.
Antara peserta 70km berbasikal yang menyertai riadah kelmarin.
Antara peserta 70km berbasikal yang menyertai riadah kelmarin.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika ditemui berkata, acara berkenaan sangat berjaya dan beliau amat menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas keberangkatan Baginda bercemar duli pagi tadi.

“Ternyata keberangkatan Baginda bercemar duli telah menunjukkan satu semangat yang luar biasa kepada para penunggang basikal, kepada persatuan basikal, dan juga kepada kementerian-kementerian yang terlibat mengendalikan acara pada pagi ini,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya melahirkan harapan agar acara berkenaan akan menjadi satu budaya, satu program yang akan berterusan dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan mengatasi masalah-masalah yang pernah Baginda titahkan berkenaan dengan berlebihan berat badan/obesiti dalam kalangan masyarakat, di mana Brunei mencatatkan kadar paling tinggi di rantau ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tidak ada catatan telah dilakukan dalam jumlah keramaian para penunggang basikal yang menyertai acara berkenaan, “pada peringkat awal, sasaran daripada pihak pengendali adalah dalam 600. Ternyata lebih daripada 600 kerana seperti yang kita lihat, taman ini penuh dengan para penunggang basikal dan dianggarkan lebih daripada 1,000 orang penunggang basikal.

“Apa yang menggembirakan, daripada semua peringkat masyarakat hadir iaitu kanak-kanak, belia, dewasa,” tambah beliau mengenai kehadiran orang ramai dalam acara berkenaan.

Apa yang menggembirakan, menurut Yang Berhormat Pehin lagi, dengan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-70 tahun, telah dapat menggerakkan masyarakat, rakyat dan penduduk di Brunei pada satu gaya hidup yang sihat.

ARTIKEL YANG SAMA