Berkenan sertai divas ke ‘ora fastpitch’

Berkenan sertai divas ke ‘ora fastpitch’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Bermula 25 sehingga 27 Mac 2016 ini, Pasukan Bola Lisut Divas akan menyertai divisyen wanita Kejohanan ‘ORA Fastpitch’ yang akan diadakan di Singapura.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah akan berkenan menyertai Pasukan Divas ke kejohanan tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Pasukan Divas, Dayang Sofiah binti Isa hari ini, ketika mengulas mengenai penyertaan Divas dalam kejohanan pertama di luar Pulau Borneo setelah beberapa siri perlawanan persahabatan diadakan sejak Januari 2016 lalu.

Beliau menaruh harapan agar setiap pemain akan sentiasa bersiap-siaga untuk menempuhi perlawanan dalam kejohanan kali ini dan menurutnya Divas akan terlibat dalam tujuh perlawanan pada kejohanan yang akan berlangsung selama tiga hari itu.

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah akan berkenan menyertai Pasukan Divas ke Kejohanan ‘ORA Fastpitch’ di Singapura yang akan berlangsung 25 hingga 27 Mac nanti.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah akan berkenan menyertai Pasukan Divas ke Kejohanan ‘ORA Fastpitch’ di Singapura yang akan berlangsung 25 hingga 27 Mac nanti.

“Perlawanan pertama akan berlangsung pada 25 Mac 2016 menentang tuan rumah ORA sebelum berhadapan Pasukan RVHS pada sebelah pagi dan petang serta Pasukan CUDAS lewat petang hari pertama kejohanan itu nanti,” ujarnya.

Pada hari kedua pula, Divas akan menentang tiga lagi pasukan termasuk Pasukan Raffles Institution pada sebelah pagi sebelum menentang Pasukan Maiko Japan selepas perlawanan itu dan sebelah petang akan menentang Pasukan Mudball.

“Pada 27 Mac 2016 nanti kami akan menentang Pasukan Wolvens dan kejohanan akan ditentukan sejurus selepas semua perlawanan selesai diadakan secara liga kumpulan,” ujar Sofiah kepada Media Permata.

Menurutnya Pasukan Divas tidak membuat harapan yang tinggi namun berhasrat memberikan persaingan kepada pasukan yang bakal dilawan pada tiga hari kejohanan itu di Singapura sedikit masa lagi.

Antara barisan pemain Divas yang bakal menyertai kejohanan itu ialah Gedda Espanol Valencia (jurulatih dan pemain), Pengiran Anak Haffezah Syukrina PAHH, Dayang Sofiah binti Isa, Ivy Abad Carlos, Nimpa Villafranca Baral, Dayang Nur Hafizah binti Haji Abdul Sidek, Dayang Amalina binti Haji Abd Karim, Wan Hannah binti Haji Abdul Karim, Wan Syaza binti Haji Abdul Karim, Dayang Nur Amanina Amirah binti Haji Hasnani, Radin Noryoul Afiqah Ibnu Abdullah, Wan Rahmani binti Haji Suhaili, Dayangku Hajah Halyanoor Azamah binti Pengiran Haji Chuchu, Vanessa Pang Li Thuan, Hajah Adina binti Haji Mohd Aliddin, Dayang Athiyyah As’ad binti Mohd Jaafar, Dayang Siti Marlina binti Haji Marsal serta dua jurulatih lain termasuk Wan Md Tambrin Sah dan Mohammad Alli bin Haji Othman.

ARTIKEL YANG SAMA