Berkenan sertai Sukan Bola Lisut

Berkenan sertai Sukan Bola Lisut

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah hari ini berkenan berangkat menyertai Pasukan Bola Lisut Divas dalam perlawanan persahabatan menentang Pasukan Gunners di Kompleks Sukan Jerudong.

Perlawanan persahabatan itu merupakan perlawanan yang keempat bagi pasukan berkenaan dalam persediaan mereka menyertai pertandingan yang bertaraf kelab yang akan dianjurkan di Singapura sedikit masa lagi.

Perkara itu antara yang dijelaskan oleh Pengurus Pasukan Divas, Dayang Sofiah binti Isa yang juga menegaskan bahawa melalui perlawanan yang diadakan ini, ia dihasratkan akan dapat meningkatkan lagi tahap permainan dan persefahaman dalam kalangan pemain Divas.

Mengulas mengenai tiga perlawanan sebelum ini, Dayang Sofiah menegaskan perlawanan pertama sebelum ini diadakan di Daerah Belait menentang pasukan dari Miri, Malaysia, perlawanan yang kedua menentang Pasukan Chikara dan menentang Pasadena dalam perlawanan ketiga sebelum ini.

“Kami sengaja memilih Pasukan Gunners bagi perlawanan persahabatan kali ini, meskipun mereka lelaki, ia merupakan latihan yang terbaik kerana pada dasarnya pasukan lelaki lebih tangkas dan laju dalam perlawanan dan itu yang ingin kami tingkatkan dalam menempuhi kejohanan ini nanti,” ujarnya lagi.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan berangkat menyertai Pasukan Bola Lisut Divas dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Gunners di Kompleks Sukan Jerudong.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan berangkat menyertai Pasukan Bola Lisut Divas dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Gunners di Kompleks Sukan Jerudong.

Divas telah mengadakan latihan sejak Januari 2016 lalu sebanyak tiga kali seminggu dan kini latihan dibuat setiap hari kecuali hari Khamis di bawah bimbingan jurulatih dari Filipina, Gedda Valencia yang juga bermain di dalam Pasukan Divas sebagai pelontar.

“Kami tidak membuat harapan yang menggunung atau sebarang yang lebih, namun menyimpan hasrat untuk memberikan persaingan kepada pasukan yang bakal menyertai kejohanan di Singapura itu nanti,” tegasnya ketika mengulas mengenai sasaran Divas tahun ini.

Apabila ditanya mengenai perkembangan bola lisut wanita, katanya di Brunei Darussalam pada satu ketika dahulu mempunyai belasan pasukan yang aktif, namun kini hanya tinggal empat pasukan yang masih giat dalam acara sukan itu.

Menurutnya, antara faktor yang menjadi penyebab kemerosotannya ialah ketiadaan padang yang khas bagi membantu perkembangan sukan ini, kerana sebelum ini permainan kerap kali dibuat di dalam stadium.

Mengulas pula mengenai kejohanan yang bakal disertai itu, menurutnya, Divas buat kali pertama menyertai kejohanan di luar Pulau Borneo dan ia menjadi aras ukuran Divas serta menjadi medan pembangunan pasukan.

Beliau mengalu-alukan supaya lebih ramai pemain muda lelaki dan wanita untuk tampil ke hadapan bagi menyertai mana-mana pasukan, sekali gus memeriahkan lagi persada sukan bola lisut kebangsaan yang pada suatu masa dahulu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Pada pendapat saya, kemudahan dan peralatan yang mahal adalah antara punca kenapa sukan ini semakin merosot. Selain itu, ia juga perlu pendedahan di peringkat sekolah kerana di sana kita boleh melihat generasi muda bergiat aktif dalam jangka masa yang panjang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, “Divas sebelum ini juga pernah mendapatkan khidmat pemain dari Pusat Tingkatan Enam, namun setelah mereka melanjutkan pengajian masing-masing ke peringkat pendidikan tinggi, jumlahnya semakin berkurang.”

ARTIKEL YANG SAMA