Berkenan sertai Sukan Polo

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menyertai perlawanan polo persahabatan bersempena dengan Kejohanan Polo Jubli Emas 2017 yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

Berangkat sama menyaksikan perlawanan itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah .

Sementara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menjadi pengadil perlawanan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai selepas menyertai perlawanan polo persahabatan di Royal Brunei and Riding Club, Jerudong.
Baginda Sultan ketika berkenan beraksi dalam perlawanan polo persahabatan itu.
Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berjaya menjaringkan tiga gol dalam perlawanan itu, satu dalam caka pertama dan dua lagi pada caka kedua, sekali gus membantu Pasukan Hitam muncul pemenang dalam perlawanan berkenaan.

Pada caka pertama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit keenam, sebelum menambah lagi dua jaringan pada caka kedua.

Satu lagi jaringan bagi Pasukan Hitam dijaringkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud bagi melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Pasukan Kuning.