Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Berkenan terima mengadap

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
    Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence
    Wong di Istana Nurul Iman.

    Semasa majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama antara lainnya membincangkan mengenai hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua buah negara terutamanya dalam bidang pertahanan dan Currency Interchangeability Agreement; penempatan pegawai-pegawai kerajaan Negara Brunei Darussalam di Singapura di bawah memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan kapasiti perkhidmatan awam yang ditanda-tangani semasa Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Singapura pada 24 Ogos 2022; serta Program Pemimpin Muda (YLP) ke-9 yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan penghargaan terhadap hubungan
    akrab bersama Republik Singapura, yang mana negara tersebut telah menghulurkan bantuan semasa pandemik COVID.

    Menyertai Tuan Yang Terutama ialah Menteri Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Vivian Balakrishnan, dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin
    Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, TYT Lawrence Wong di Istana Nurul Iman, kelmarin.- Gambar oleh Bahiyah Bakir
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima mengadap TYT Lawrence Wong di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
    KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri Timbalan Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Loo Tze Lui.- Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran
    Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menerima mengadap TYT Lawrence Wong dan isteri di Qashr Al-Meezaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menghoskan Majlis Santap Tengah Hari bagi meraikan TYT Lawrence Wong dan isteri serta rombongan.

    TYT Lawrence Wong dan rombongan berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama dua hari.

    Sementara itu pada majlis secara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap isteri kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Loo Tze Lui.

    Juga hadir pada majlis tersebut ialah isteri Menteri Luar Negeri, Republik Singapura, Joy Balakrishnan.

    Terdahulu itu, pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menerima mengadap TYT Lawrence Wong dan isteri serta rombongan di Qashr Al-Meezaan.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Turut hadir ialah Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, dan Timbalan Menteri di JPM.

    Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama antara lainnya membincangkan mengenai pengukuhan hubungan dua hala antara Brunei dan Republik Singapura, termasuk kerjasama dalam bidang sektor awam, pendidikan dan pelaburan.

    Selesai majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah seterusnya berangkat menghoskan Majlis Santap Tengah Hari bagi meraikan TYT Lawrence Wong dan isteri serta rombongan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...