Berkenan tinjau kemudahan kesihatan

Berkenan tinjau kemudahan kesihatan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil perhatian berat terhadap kesejahteraan serta kebajikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dalam memastikan mereka menerima perkhidmatan serta layanan terbaik daripada pihak-pihak yang berkenaan termasuk perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti tinggi.

Baginda bukan sahaja amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan para pesakit yang menerima rawatan tetapi juga permasalahan dan kesejahteraan ahli-ahli keluarga para pesakit berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Baginda Sultan, hari ini, berkenan mengadakan lawatan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi meninjau kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di hospital berkenaan.

Keberangkatan Baginda di hospital berkenaan dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dan Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kesihatan dan Hospital RIPAS.

Dalam lawatan berkenaan Baginda berkenan meninjau dengan lebih dekat kemudahan yang diberikan, perkhidmatan yang ditawarkan di bahagian-bahagian hospital berkenaan serta menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan orang ramai yang berada di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

Baginda Sultan berkenan mendengar sembah penerangan daripada Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain.
Baginda Sultan berkenan mendengar sembah penerangan daripada Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat melawat ke  Bangunan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak,  Hospital RIPAS, kelmarin.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat melawat ke Bangunan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS, kelmarin.

Semasa lawatan tersebut, Baginda diberikan sembah penerangan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kesihatan dan Hospital RIPAS.

Beberapa bahagian dan kemudahan di Hospital RIPAS yang menjadi tumpuan keberangkatan lawatan Baginda pagi tadi ialah Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Klinik Perubatan, Pejabat Rekod Perubatan dan Jabatan Farmasi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga meneruskan lawatan ke Unit Hematologi yang terletak di Bangunan Klinik-klinik Pakar.

Unit tersebut memberi akses yang berkualiti tinggi menyediakan penjagaan yang menyeluruh serta meningkatkan kesejahteraan individu yang menghidap penyakit berkaitan darah di negara ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia  semasa keberangkatan lawatan Baginda  ke Hospital RIPAS, kelmarin.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa keberangkatan lawatan Baginda ke Hospital RIPAS, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia  berkenan beramah mesra dengan kakitangan Hospital RIPAS semasa keberangkatan lawatan Baginda ke hospital itu, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra dengan kakitangan Hospital RIPAS semasa keberangkatan lawatan Baginda ke hospital itu, kelmarin.

Bahagian Perubatan Respiratori yang terletak di bangunan yang sama juga menjadi tumpuan Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat melawat Bahagian Pembedahan Ortopedik yang berperanan mengendalikan rawatan kecacatan tulang akibat semula jadi, ketumbuhan dan trauma.

Bahagian itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pembedahan tukar ganti sendi dan tulang, rawatan awal dan pembedahan patah tulang serta pembedahan kes kecederaan semasa bersukan.

Pusat Jantung juga menjadi tumpuan keberangkatan Baginda. Semasa keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berpeluang berinteraksi dengan doktor pakar dan jururawat. Baginda seterusnya berkenan melawat perpustakaan perubatan, kompleks sukan, stor perubatan negara, Bangunan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak dan Unit Perubatan Akut (AMU) iaitu sebuah unit untuk memperbaiki kemasukan untuk pesakit dewasa ke wad-wad perubatan.