Berkualiti tinggi, mampu milik

Berkualiti tinggi, mampu milik

KUCHING, 4 April (Bernama) – Sarawak menghadapi masalah kekurangan rumah berharga RM300,000 dan ke bawah, tetapi terdapat lebihan rumah yang berharga RM400,000 dan ke atas.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata terdapat kekurangan pembeli untuk rumah berharga RM400,000 ke atas kerana bank mengenakan syarat yang ketat dalam pemberian pinjaman dan skeptikal sama ada pembeli dapat membayar balik pinjaman itu atau tidak.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri perlu campur tangan dalam pasaran dan bekerjasama dengan Perbadanan PR1MA Malaysia untuk membangunkan dan membina rumah yang berkualiti tinggi bagi isi rumah berpendapatan sederhana.

“Baru-baru ini, PR1MA Malaysia melancarkan projek perumahan Vista Perdana di Miri yang berharga hanya RM250,000 seunit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdapat pelbagai jenis dan saiz rumah PR1MA berharga RM100,000 ke RM400,000, dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 dan RM10,000 sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat keadaan dalam rumah contoh ketika melawat projek Vista Perdana Fasa 2, sebuah projek yang dimajukan Syarikat Perumahan Nasional Berhad, di Miri, pada 2 April. Mengiringi Najib, Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kanan). – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat keadaan dalam rumah contoh ketika melawat projek Vista Perdana Fasa 2, sebuah projek yang dimajukan Syarikat Perumahan Nasional Berhad, di Miri, pada 2 April. Mengiringi Najib, Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kanan). – Bernama

Abang Johari berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan oleh kementeriannya bernilai RM230,000 kepada 23 persatuan masyarakat Cina di bawah Persekutuan Persatuan Komuniti Bahagian Kuching dan RM300,000 lagi kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No.4, Jalan Nanas, Kuching bagi menyiapkan pembinaan dewan sekolah.

Sumbangan sebanyak RM300,000 itu merupakan tambahan kepada RM500,000 yang diberikan Abang Johari kepada sekolah itu tahun lepas.

Sementara itu, Abang Johari berkata sumbangan tersebut menunjukkan kerajaan negeri mengiktiraf pendidikan Cina dan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), malah perkhidmatan awam negeri juga menerima mereka yang berkelulusan UEC.

Mengenai pelancongan, Abang Johari berkata sektor itu merupakan satu daripada komponen penting dalam ekonomi negeri justeru, kerajaan negeri serius untuk membangunkan industri berkenaan.