‘Berlarilah untuk kesihatan’

‘Berlarilah untuk kesihatan’

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani & James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – ‘Berlarilah untuk kesihatan’, itulah kata-kata semangat yang diluahkan oleh bekas tentera dan juga juara Larian Hari Keputeraan Veteran 70 bagi Daerah Brunei dan Muara, Kapten (B) Haji Osman bin Haji Lahab.

Ketika ditemui di Stadium Negara Hassanal Bolkiah selepas berjaya menamatkan larian sejauh 3km dengan catatan masa 15:40, hari ini, Kapten (B) Haji Osman yang berusia 74 tahun berkata, beliau aktif menjalankan aktiviti larian ini bukan saja disebabkan minat tetapi juga disebabkan keinginan untuk terus kekal sihat di samping menjaga dan mengambil pemakanan yang seimbangan.

Terdahulu itu, beliau melahirkan perasaan syukur dan bangga kerana berpeluang bersaing dengan belia-belia muda yang lain.

Menurutnya, penglibatan dalam sukan seumpama ini sejak berusia 18 tahun bukan saja dibuat di dalam negara sahaja malah beliau juga aktif menyertai sukan larian di luar negara yang mana pada November 2016 ini, beliau akan menyertai KL Master Veteran dengan pembiayaan persendirian.

Sementara itu, salah seorang peserta kategori Fun Run sejauh 3km yang sempat ditemu bual, Dayang Mas Suhana binti Abdullah, 34, mengongsikan perasaan gembiranya menyertai Larian Hari Keputeraan ke-70 ini buat kali pertama.

Kapten (B) Haji Osman bangga dapat bersaing dengan belia-belia muda dalam larian ini.
Kapten (B) Haji Osman bangga dapat bersaing dengan belia-belia muda dalam larian ini.
Dayang Mas Suhana ketika ditemu bual mengenai penyertaannya dalam Larian Hari Keputeraan ke-70.
Dayang Mas Suhana ketika ditemu bual mengenai penyertaannya dalam Larian Hari Keputeraan ke-70.

Beliau berkata, penyertaan dalam larian ini adalah yang julung kalinya yang mana ia merupakan langkah awal untuk melibatkan diri dalam sukan seumpama ini dan berharap akan menyertainya pada masa akan datang dalam kategori 5km.

Dalam acara larian bagi Daerah Brunei dan Muara itu, juara kategori terbuka lelaki dan wanita sejauh 10km, masing-masing telah dimenangi oleh Awangku Mohd Mazni bin Pengiran Saifuddin dan Yvette Kortekas.

Manakala itu, kategori veteran lelaki dan wanita 10km, masing-masing dimenangi oleh Awang Ramlan bin Haji Maarof dan Airince Liam yang mana setiap pemenang membawa pulang hadiah $500 berserta pingat dan sijil.

Kategori remaja lelaki dan perempuan sejauh 5 km pula masing-masing dimenangi oleh Awang Ahmad Yazid bin Awang Hidup dan Shana Holmes, dengan membawa pulang $300 berserta pingat dan sijil penyertaan.

Awang Amiruddin bin Haji Mohd Zam dan Dayang Norsakinah binti Sikin pula menjuarai kategori orang berkeperluan khas lelaki dan perempuan sekali gus memenangi wang tunai $150 berserta pingat dan sijil penyertaan.

ARTIKEL YANG SAMA