Berlepas ke Langkawi

Berlepas ke Langkawi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Dengan hasrat untuk menguji keupayaan para pemain dan juga memberikan pendedahan yang berguna, seramai 16 orang pemain badminton Negara Brunei Darussalam berlepas ke Langkawi, Malaysia, hari ini, untuk menyertai kejohanan jemputan, Kejohanan Badminton Antarabangsa Langkawi yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Langkawi, Lada, bermula esok (17 Disember) hingga 20 Disember.

Para pemain badminton negara akan menyertai acara perseorangan lelaki di bawah 13 tahun, di bawah 19 tahun dan terbuka serta beregu lelaki terbuka dan veteran (40 tahun ke atas).

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan bendera negara kepada rombongan pemain badminton diadakan di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Haji Antin bin Ahad kepada Pengurus Pasukan, Awang Mohd Azmay bin Marji dengan doa dibacakan oleh Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad.

Haji Antin menyerahkan bendera negara kepada Awang Mohd Azmay sebelum rombongan pemain badminton negara berlepas ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa Langkawi 2015.
Haji Antin menyerahkan bendera negara kepada Awang Mohd Azmay sebelum rombongan pemain badminton negara berlepas ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa Langkawi 2015.

Pemain-pemain badminton negara yang akan beraksi dalam kejohanan berkenaan ialah Awang Mohd Azmay bin Marji, Awang Ali Mustapha bin Haji Abdul Hamid, Awang Amaran bin Kambar, Awang Ermadena bin Haji Talip, Awang Huzaini bin Mohd Salleh, Awang Zulkifli bin Mohd Salleh, Pengiran Hamdilah bin Pengiran Haji Ahmad, Awangku Abdul Halim Al Hakim bin Pengiran Haji Ismail, Awang Mohd Faizzul Irsyaduddin bin Mohd Azmay, Awang Mohd Nazirul Syahiran bin Mohd Azmay, Awang Ahmad Mahyuddin bin Haji Abas, Awang Aiman Hafizul Akram bin Abdullah, Awang Mohd Iqbal Asyarf bin Mohammad, Awang Mohd Sharifuddin bin Marji, Awang Masrur Fu’ad bin Haji Asmat dan Awang Mohd Raihan Rahman bin Mohd Azmay.

Penyertaan dalam kejohanan itu adalah atas usaha persendirian pemain-pemain di mana dengan penyertaan itu, diharap akan menjadi titik permulaan perkembangan sukan badminton di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan daripada Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, adalah sangat diharapkan kepada badan-badan persatuan, syarikat-syarikat swasta dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan dapat bekerjasama dan memberi sokongan bagi meningkatkan sukan badminton di negara ini dengan menghantar pemain-pemain yang berpotensi untuk menyertai kejohanan-kejohanan di luar negara di masa akan datang.