Berlian biru 10.10 karat dijangka catat jualan rekod

Berlian biru 10.10 karat dijangka catat jualan rekod

HONG KONG, 11 Mac (AFP) – Berlian biru 10.10 karat dijangka mencatat rekod untuk barang kemas paling mahal yang dijual pada pelelongan di Asia meskipun kemelesetan pertumbuhan berterusan dalam ekonomi China, kata Sotheby’s hari ini.

Berlian ‘De Beers Millenium Jewel 4’ dijangka dijual di antara AS$30 juta dan AS$35 juta pada penjualan 5 April di Hong Kong, dan digambarkan oleh firma pelelongan sebagai berlian biru terbesar yang pernah muncul pada pelelongan dan “tidak ada cacat pada bahagian dalam.”

Berlian itu, yang lebih besar daripada kacang badam berdasarkan saiz, datang daripada Lombong Cullinan di Afrika Selatan dan merupakan satu daripada 12 yang dipamerkan di Millenium Dome London untuk menandakan tahun 2000.

“Terdapat berbelas berlian biru dalam warna terang dan lebih 10 karat di dunia, maka ia adalah amat luar biasa,” beritahu Penolong Pengerusi Sotheby’s untuk Asia Quek Chin Yeow kepada AFP.

Penjualan itu diadakan lima bulan selepas berlian “Blue Moon of Josephine” 12.03 karat dibeli dengan harga AS$48 juta di Geneva oleh jutawan harta ASaia, satu petanda pasaran pelelongan barang kemas masih kukuh meskkipun pertumbuhan meleset di China.

Berlian biru 10.10 karat berbentuk bujur ini dijangka akan menjadi barangan kemas yang paling mahal dilelong.
Berlian biru 10.10 karat berbentuk bujur ini dijangka akan menjadi barangan kemas yang paling mahal dilelong.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu berkembang 6.9 peratus pada 2015, prestasi paling teruk dalam satu perempat abad dan jauh berbeza daripada pertambahan dua digit bertahun-tahun lamanya.

“Sudah tentunya orang bimbang mengenai kemelesetan China,” kata Quek, namun menambah jualan barangan luar biasa nampaknya tidak terjejas oleh angka pertumbuhan.

“Ia adalah objek luar biasa. Apabila mereka datang ke pasaran, mereka akan menerima minat mendalam dari seluruh dunia,” kata Quek, menambah lokasi penjualan akan datang merupakan tanda keyakinan dalam pasaran Asia.

Rekod sebelumnya untuk penjualan berlian di Hong Kong dicatat pada 2013, dengan penjualan berlian putih 118 karat pada harga AS$30.6 juta.

ARTIKEL YANG SAMA