Berlian biru bakal cipta rekod jualan

Berlian biru bakal cipta rekod jualan

GENEVA, 16 Mei (AFP) – Berlian biru sebesar 14.62 karat milik arkitek industri berlian moden mungkin dijual dengan harga tinggi pada pelelongan Magnificent Jewels pada minggu ini di Geneva.

Batu berkilau itu sebelum ini milik mendiang Philip Oppenheimer, keturunan keluarga yang mengawal syarikat perlombongan berlian De Beers.

Sebagai pengerusi kartel berpengaruh bergelar Pertubuhan Penjualan Utama, Oppenheimer, yang meninggal dunia pada tahun 1995, mengawal ketat perniagaan berlian antarabangsa dan membantu menjadikannya satu perniagaan amat menguntungkan.

Kejayaan beliau akan dipaparkan sepenuhnya pada Rabu apabila Christie’s melelongkan berlian “The Oppenheimer Blue” di hotel Four Seasons des Bergues yang menghadap Tasek Geneva.

Christie’s telah menilai batu Oppenheimer di antara AS$38 juta dan AS$45 juta, memberikan percubaan kepada orang luar untuk memecah rekod yang dicatat oleh firma pelelongan Sotheby’s pada November.

Berlian biru itu ketika dipamerkan dalam pratonton sebelum lelongan tersebut. - AFP
Berlian biru itu ketika dipamerkan dalam pratonton sebelum lelongan tersebut. – AFP

Berlian Sotheby’s sebesar 12.03 karat dibeli dengan harga AS$48.4 juta oleh jutawan Hong Kong Joseph Lau, yang pada hari sebelumnya membeli berlian merah jambu 16.08 karat dengan harga AS$28.5 juta.

Jutawan harta itu, yang disabit bersalah menerima rasuah di Macau pada tahun lalu, menamakan kedua-dua berlian sempena anak perempuannya Josephine.

Pakar barang kemas Christie’s Jean-Marc Lunel memberitahu AFP bahawa harga The Oppenheimer Blue mungkin mengatasi apa yang dibayar oleh Lau untuk “The Blue Moon of Josephine.”

“Ia adalah berlian luar biasa, paling cantik yang pernah saya lihat dan ia mungkin mencatat harga rekod,” kata beliau.

Menurut Christie’s, berlian Oppenheimer adalah yang terbesar yang dijual pada pelelongan dalam kategori Fancy Vivid Blue, yang mengumpul batu permata luar biasa dengan warna dan kejelasan luar biasa.

Namun, terdapatnya peluang batu permata itu tidak dapat memenuhi anggaran harga lantainya.

Ia berlaku pada bulan lalu apabila cincin berlian biru sebesar 9.54 karat yang pernah dimiliki oleh bintang kanak-kanak Amerika Shirley Temple gagal dijual pada pelelongan di New York selepas bidaan ditutup pada AS$22 juta, di bawah harga simpanan.