Berlian merah jambu dijangka mencecah harga AS$28 juta

Berlian merah jambu dijangka mencecah harga AS$28 juta

GENEVA, 25 Sept (AFP) – Berlian merah jambu berbentuk kusyen dijangka mencecah harganya sehingga AS$28 juta apabila ia dilelong di Geneva pada 10 November, menurut dewan lelongan Christie’s kelmarin.

Berlian 16.08 karat itu dijadikan sebentuk cincin dan cukup merah jambu untuk layak di bawah garis panduan Institut Permata Amerika sebagai ‘batu permata hiasan’, menurut Christie’s, yang mengatakan hanya tiga berlian ‘merah jambu terang’ dengan lebih 10 karat telah dijual sejak 250 tahun lalu.

Batu itu diklasifikasikan sebagai berlian Jenis IIa, satu klasifikasi yang hanya diperuntukkan kepada hanya dua peratus daripada semua permata berlian, kata Christie’s. Berlian utama itu dikelilingi dua barisan berlian putih, dengan barisan lain berlian merah jambu di bahagian bawah. Sementara itu, lingkaran cincin itu diperbuat daripada platinum yang bertatahkan berlian putih.

Ia akan dibawa jelajah antarabangsa bermula bulan depan, dan akan dipamerkan di lokasi Christie’s di Hong Kong, New York dan London sebelum dilelong. Rekod dunia bagi penjualan berlian semasa pelelongan itu pada masa ini dipegang oleh berlian merah jambu 24.78 karat, dikenali sebagai Graff Pink, yang dijual di Geneva pada November 2010 sekitar AS$46 juta.

ARTIKEL YANG SAMA