Berlindung dalam tandas, elak ribut

Berlindung dalam tandas, elak ribut

DUNGUN, 12 Sept – “Kami terpaksa berlindung dalam tandas kerana masa tu bumbung rumah dah ditimpa pokok dan tandas satu-satunya tempat yang selamat,” kata Shamsiah Ibrahim ketika menceritakan detik cemas kejadian ribut di Felda Jerangau di sini, semalam.

Shamsiah, 55, berkata anaknya Nur Eliyanie Ibrahim, 20, yang baru sahaja empat hari melahirkan anak bernasib baik kerana sempat keluar dari biliknya yang ditimpa pokok.

“Memang Allah sayangkan dia (Nur Eliyanie), baru sahaja dia keluar dari bilik dengan bayinya, pokok menimpa bilik tersebut. Kalau dia tak keluar, tak tahulah macamana keadaan dia sekarang… kejadian terlalu pantas ribut tak sampai 10 minit pun.

“Lepas pokok tumbang menimpa rumah, mak cik bawa cucu yang baru lahir tu untuk tumpang berteduh di rumah jiran di hadapan yang rumahnya selamat, rumah jiran lain mengalami nasib sama juga ditimpa pokok,” katanya ketika ditemui Bernama di felda itu di sini, malam tadi.

Menurutnya ketika itu dia sedang minum petang bersama-sama beberapa anak dan cucunya kira-kira 10 orang bertempiaran menyelamatkan diri dan berlindung di dalam tandas yang tidak terjejas.

Keadaan sebuah rumah penduduk yang rosak akibat ribut di Felda Jerangau kelmarin. Lebih 100 rumah penduduk dan dua buah tabika mengalami kerosakan. – Bernama
Keadaan sebuah rumah penduduk yang rosak akibat ribut di Felda Jerangau kelmarin. Lebih 100 rumah penduduk dan dua buah tabika mengalami kerosakan. – Bernama

Dalam kejadian ribut pada kira-kira 4 petang semalam itu, lebih daripada 100 buah rumah penduduk dan dua buah tabika telah mengalami kerosakan, manakala sebuah kereta Proton Wira dan sebuah lori tiga tan ditimpa pokok tumbang.

Habsah Mariam, 66, berkata persiapan untuk menyambut Aidiladha hari ini turut musnah apabila 99 keping atap genting di rumahnya runtuh dalam kejadian tersebut.

“Masa tu mak cik ke kedai nak beli barang untuk dibuat juadah hari raya, tiba-tiba cucu telefon beritahu atap rumah runtuh… rumah bagaikan banjir, habis basah bahagian ruang tamu, bilik tidur, dapur dan tandas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam yang meninjau keadaan penduduk, berkata pihaknya bersama-sama Pejabat Felda Wilayah Terengganu dan Pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi akan membantu membaik-pulih rumah yang rosak.

“Mana-mana rumah yang rosak terlalu teruk, kita akan terus baiki hari ini dengan bantuan pemimpin setempat… pihak pejabat Felda dan pejabat ADUN telah melantik kontraktor dan dalam proses mendapatkan bekalan bahan mentah… kerugian keseluruhannya sedang ditaksir,” katanya. – Bernama