Berlumba jaguh pecut dunia

Berlumba jaguh pecut dunia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Ketika ramai orang hanya mampu bermimpi untuk berlari atas balapan yang sama, pada masa yang sama, dengan jaguh dunia pelari pecut 100 meter (m) kesukaan ramai, Usain Bolt, impian itu menjadi kenyataan buat jaguh pecut Negara Brunei Darussalam, Mohd Fakhri Ismail pada malam 22 Ogos yang lalu.

Lebih manis lagi buat anak muda kelahiran Kampung Lurong Sekuna itu, ia berlaku semasa kejohanan bertaraf dunia iaitu IAAF World Championship 2015, Beijing, China yang mendapat liputan meluas dari pelbagai rangkaian television seluruh dunia.

Mohd Fakhri Ismail tidak menjangka sama sekali penyertaannya sebagai satu-satunya atlet Brunei Darussalam yang dihantar menyertai IAAF World Championship 2015 bakal merealisasikan impiannya bersemuka dengan idolanya, Usain Bolt.

Bertemu secara berdepanan dengan pemegang rekod dunia acara lari 100m itu sudah mengujakan bagi pemegang rekod kebangsaan acara lari 100m berkenaan, apatah lagi berlari di atas balapan yang sama dalam saringan yang sama dengannya iaitu Saringan 7, Pusingan Pertama.

Mohd Fakhri atas Lorong 4 dan Bolt atas Lorong 6, begitu dekatnya jaguh pecut Brunei Darussalam dengan jaguh pecut dunia berkenaan. Hanya pelari Maldives, Hassan Saaid atas Lorong 5 ‘menghalang’ Mohd Fakhri daripada berlumba lebih dekat lagi dengan Bolt.

Gambar kenangan Mohd Fakhri bersama juara dunia Usain Bolt dari Jamaica semasa IAAF World Championship 2015 Beijing pada Ogos lalu.
Gambar kenangan Mohd Fakhri bersama juara dunia Usain Bolt dari Jamaica semasa IAAF World Championship 2015 Beijing pada Ogos lalu.
Rakaman ketika Mohd Fakhri (Lorong 9) melepasi garisan penamat di tempat ketiga semasa Pusingan Kelayakan yang membolehkannya mara ke pusingan pertama.
Rakaman ketika Mohd Fakhri (Lorong 9) melepasi garisan penamat di tempat ketiga semasa Pusingan Kelayakan yang membolehkannya mara ke pusingan pertama.

Mengimbas kembali kenangan manis berlari hanya jarak satu lorong dengan pemegang rekod dunia itu, Mohd Fakhri menegaskan ia tidak akan berlaku jika dia gagal layak dari Pusingan Kelayakan pada perlumbaan di sebelah pagi hari yang sama, Sabtu, 22 Ogos 2015. Ternyata pelari pecut muda berusia 24 tahun itu berjaya, sekali gus mencatat sejarah sebagai pelari pecut negara pertama berjaya mara ke Pusingan Pertama kejohanan dunia apabila mendapat tempat ketiga dengan masa 10.73 saat. Hanya tiga pelari terpantas setiap saringan layak secara otomatik ke Pusingan Pertama.

Berada di Lorong 4, menoleh ke atas bahu kanannya betapa dekat dirinya dengan pelari dari Jamaica yang berada di Lorong 6, hanya satu lorong memisahkan antara mereka berdua, sukar dibayangkan betapa tingginya rasa keterujaan Md Fakhri ketika itu.

Mohd Fakhri yang baru serius dalam acara lari pecut dua tahun lalu itu ketika mengongsikan saat bersejarah buat dirinya bersama Media Permata merafakkan rasa syukurnya kerana betapa dirinya sangat beruntung dapat berlari satu saringan dengan jaguh dunia kesukaan ramai.

“Masa itu dalam fikiran saya, impian menjadi nyata, dia idola saya, kemudian bertemu lagi dalam satu saringan, menjadikan ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, berlumba bersama dengan pemegang rekod dunia dan juara dunia tahun ini.

“Memang ada rasa gemuruh ketika berlumba dengannya, sebab tahap jauh berbeza. Tetapi sekurang-kurangnya ramai orang kini tahu dan kenal Brunei Darussalam, ada pelarinya yang berlari bersama Usain Bolt. Bagaimanapun saya cuba sedaya upaya saya juga masa itu untuk pecahkan rekod kebangsaan,” luahnya.

“Tekanan semasa berlumba memang ada, tetapi tidak mengganggu tumpuan saya. Saya tetap meletakkan sasaran mungkin dapat masa yang bagus berlari bersama Bolt, tetapi tidak dapat memecahkan rekod peribadi. 50m pertama memang permulaan yang hebat sebab pada masa itu kami semua sebaris tetapi apabila masuk 60m para pelari lain punya langkah memang besar kerana badan mereka yang besar dan tinggi berbanding badan saya yang kecil daripada mereka, maka dari situlah saya mula ketinggalan dan membezakan kami lepas itu, saya ada sedikit tertekan untuk mengejar mereka, 50-40m terakhir, bentuk larian saya mula sedikit kacau.”

Saringan 7, Pusingan Pertama itu dimenangi Usain Bolt dengan catatan masa 9.96 saat, manakala Mohd Fakhri yang merupakan pelari dengan catatan masa peribadi paling perlahan dalam kumpulan lapan pelari saringan berkenaan berjaya mencatat 10.72 saat, 0.01 saat lebih baik dari catatan masanya di sebelah pagi.

Pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-28 di Singapura pada Jun 2015 yang lalu, Mohd Fakhri berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa peribadi terbaiknya, 10.59 saat.

“Yes man (Bahasa Inggeris).” Itulah saja kata-kata yang sempat Usain Bolt katakan kepada Mohd Fakhri apabila dia (Mohd Fakhri) menyatakan kepadanya, (Pengalaman hebat berlumba dengan anda)”, ketika berpeluang bertemu dengan Bolt semasa makan malam.

“Sukar sedikit untuk dapat bergambar dengan Bolt, tetapi nasib baik juga sempat,” cerita Mohd Fakhri mengenai pengalamannya bersemuka dengan Bolt.

Beliau kemudiannya tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama Bolt sebagai kenangan bersejarah yang tidak mungkin dapat dilupakannya sepanjang hayat.