Berlumba menabung ‘saham akhirat’

Oleh Efwad Rashyad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Bagi membantu melancarkan aktiviti-aktiviti membersihkan Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, ahIi jawatankuasa (AJK) takmir dan para jemaah Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri telah mengorak inisiatif mengumpul kewangan seangkat hati menyewa jentera jengkaut hari ini.

Dalam majlis penyerahan sumbangan di tapak kawasan perkuburan tersebut, Ketua Kampung RPN I Kampong Mentiri, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Damit telah menerima sumbangan lebih daripada $700 yang telah dikumpulkan secara suka rela.

Dalam pada itu, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Awang Samsul bin Haji Abdul Latif berkata usaha itu membuktikan kesedaran di kalangan para jemaah masjid untuk berlumba-lumba menabung ‘saham akhirat’.

“Ia juga mencerminkan kemuafakatan yang padu dalam menjayakan dan meringankan semua aktiviti-aktiviti khususnya hal ehwal kemasyarakatan di kampung ini,” jelasnya lagi.

Ketua Kampung RPN Mentiri I menerima sumbangan hasil ihsan AJK takmir dan jemaah Masjid Hassanal Bolkiah.

Awang Samsul berkata, inisiatif berkenaan dihasratkan juga sebagai peluang untuk ‘sama-sama mengampiti’ meraih pahala amal jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang begitu besar.

Setiausaha AJK Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Awang Mohammad bin Haji Hassan pula melahirkan rasa terima kasih atas sambutan berkenaan sambil berharap kerjasama yang diberikan itu dapat dikekalkan.

“Kemuafakatan dan sokongan padu setiap individu sangat memberi impak yang sangat besar kepada kekukuhan ukhwah dan kita juga perlu memainkan peranan dalam sama-sama menyumbang aktiviti bermanfaat dalam mentakmirkan masjid di samping menyatupadukan hal ehwal kemasyarakatan sekali gus menyuntik minat pada golongan belia untuk mendekati masjid di samping melibatkan diri dalam aktiviti positif,” jelasnya lagi.