Berlusconi bincang jual saham AC Milan

Berlusconi bincang jual saham AC Milan

MILAN, 11 Mei (Agensi) – Bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi (gambar) secara eksklusif mengadakan perbincangan terbuka bersama pelabur-pelabur dari China mengenai penjualan saham majoriti kelab gergasi, AC Milan.

Milan yang juga juara Eropah tujuh kali adalah salah satu aset dianggap paling berharga hartawan media itu.

Syarikat milik keluarga Berlusconi, Fininvest berkata, mereka sudah menandatangani memorandum dengan konsortium China ketika mesyuarat lembaga pengarah, semalam untuk “membawa rundingan lebih mendalam.”

Fininvest tidak memberi tempoh masa namun sumber rapat memberitahu Reuters perbincangan akan berlangsung selama sebulan dan tidak membabitkan proses bidaan.

pg21_160512_c

“Pihak China menilai kepada itu kepada 750 juta euro termasuk hutang,” kata sumber terbabit. Berlusconi yang memiliki AC Milan lebih daripada tiga dekad berhasrat untuk menjual kelab itu ketika ia berada di tahap paling buruk dalam sejarah penubuhannya pada 1899.

Berada di belakang Real Madrid dalam senarai pemenang terbanyak di peringkat Eropah, Milan gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan sejak lima tahun lalu dan menghuni tangga ketujuh Serie A Itali, ketika ini.

Kelab itu dilaporkan kerugian 93.5 juta euro tahun lalu dan memerlukan suntikan modal untuk menjalankan perniagaan bagi meletakkannya setaraf kelab-kelab gergasi Eropah lain yang kebanyakannya dimiliki billionaire Timur Tengah dan Asia.

Begitupun, perbincangan mengenai penjualan kelab itu dilihat masih jauh apabila hartawan berusia 79 tahun itu enggan kehilangan ‘takhtanya’ terhadap kelab yang digelar ‘Milan saya’ itu.