Bermalam 14 hari di penjara

Bermalam 14 hari di penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160520_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Seorang penganggur terpaksa bermalam di penjara selama 14 hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menceroboh dengan niat untuk mencuri.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan hukuman itu ke atas Saifuddin bin Haji Ahad, 29, yang didakwa menceroboh bekas bangunan sekolah yang terletak di Kampung Burong Pingai, Berakas pada 17 Mei 2016 kira-kira jam 12 tengah hari.

Bekas bangunan sekolah itu kini menjadi milik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Ketika kejadian, tertuduh membawa bersama pemutar skru, pemotong dan tali kecil.

Tertuduh menceroboh bekas bangunan sekolah itu dan mengumpulkan sejumlah bingkai tingkap aluminium yang bertaburan di kawasan tersebut.

Pada masa yang sama, dua orang anggota tentera yang menjalankan rondaan di kawasan itu terlihat tertuduh, dan menjerit kepadanya sebelum mengejarnya.

Tertuduh berjaya diberkas di mana dia mengaku menceroboh ke kawasan itu untuk mengumpul besi buruk dan berhasrat menjualnya untuk mendapatkan wang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA