Bermula proak...

Bermula proaktif, teruskan proaktif

MINGGU lepas, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menekankan dalam tegurannya kepada ahli-ahli Lembaga Bandaran di keempat-empat daerah supaya berfikir di luar kotak dan proaktif dalam segala perancangan.

Satu teguran yang sememangnya menandakan yang ahli-ahli Lembaga Bandaran sebelum ini cuma berharap kepada arahan-arahan yang kadangkala rutin dan tidak membawa ke mana-mana.

Contohnya sahaja, lihatlah Bandar Seri Begawan masa kini. Hanya hidup di hujung minggu dengan acara Bandarku Ceria yang pernah diilhamkan pada tahun 2005 sedangkan hari-hari lain dan malam-malam lain seolah-olah terbiar sunyi sepi dan muram. Yang lebih teruk lagi, penghuninya seolah-olah berpuas hati dengan status quo yang berlaku tanpa mampu memberi cadangan atau saranan yang membina, apatah lagi provokatif.

Wujudkan dialog dengan majlis perundingan mukim dan kampung, apatah lagi dengan penyewa-penyewa bangunan milik Lembaga Bandaran dan yang berada di kawasan Perbandaran, dapatkan komen dan saranan mereka dan laksanakan bersama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah bertitah yang ruang perbandaran telah rasminya diperluas dari 12.5km persegi kepada 100km persegi sewaktu titah Hari Keputeraan Baginda hampir 10 tahun yang lalu.

Tapi untuk apa? Senang saja, untuk beri ruang dan peluang untuk yang berkenaan meluaskan lagi skop kegiatan yang bakal menjana pembangunan dan kemajuan ekonomi ibu negara kita.

Namun dalam jangka masa hampir 10 tahun, apa yang telah kita saksikan dan kita capai, selain daripada pembangunan infrastruktur dan kita diperkenalkan dengan peraturan, akta dan undang-undang baru. Apakah kita warga Bandar Seri Begawan masih tidur dibuai mimpi tanpa berbuat apa-apa? Sempadan Bandar Seri Begawan telah pun diluaskan sehingga ke Batu Bersurat, Berakas, Tasik Meradun, Kota Batu dan Sungai Akar sejak 2007.

Kita perlu menangani sikap ‘malastah ku ingau’ dan acuh tak acuh ini sesegeranya atau kita tidak akan pernah mencapai Wawasan Brunei 2035, walaupun pada hakikatnya wawasan tersebut ditunda lagi ke tahun 2050, siapa tahu. Renungkanlah. – IRWAN HAR, Lambak

ARTIKEL YANG SAMA