Bermulanya solat sunat Tarawih malam pertama

Bermulanya solat sunat Tarawih malam pertama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Bagi meraih lagi ganjaran amalan yang berlipat kali ganda dengan bermulanya malam pertama bulan Ramadan, masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara malam ini telah menyempurnakan dengan solat sunat Tarawih.

Di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, umat Islam telah memenuhi ruangan solat masjid yang mencecah hampir dua ribu jemaah yang terdiri daripada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap, dan warga asing yang berugama Islam.

Selain di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, acara serupa juga diadakan di semua masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat dan rumah-rumah persendirian bagi membesarkan bulan Ramadan.

Jemaah di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop ketika menantikan solat sunat Tarawih.
Jemaah di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop ketika menantikan solat sunat Tarawih.

Menurut Imam Masjid Kampung Masin, Haji Zainol ketika ditemubual berkata bahawa solat sunat Tarawih juga disebut dengan Qiyamu Ramadan dan waktu mengerjakannya ialah setelah mengerjakan solat fardhu Isyak hingga lewat malam.

Hukum mengerjakan Solat Tarawih adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan ataupun berjemaah.

Majlis berkenaan bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan, dan meningkatkan syiar Islam bagi mendapatkan amalan yang berlipat kali ganda serta diredhai oleh Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA