Bernama-IRNA ...

Bernama-IRNA setuju tingkat kerjasama

TEHRAN, 12 Feb – Bernama dan Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) bersetuju untuk meningkatkan kerjasama seiring dengan perubahan dalam landskap dan teknologi media.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dengan Pengarah Urusan IRNA Mohammad Khodadi semasa melawat agensi berita Iran itu di sini hari ini.

Kedua-dua mereka kemudian menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk memperbaharui kerjasama antara kedua-dua agensi berita .

Azman tiba di sini awal hari ini untuk lawatan lima hari atas undangan Khodadi.

“Seiringi dengan perubahan landskap media terutama pengaruh media sosial, agensi-agensi berita perlu mengkaji semula cara-cara tradisional bagi kerjasama,” kata Azman selepas majlis pemeteraian MoU itu.

“IRNA dan Bernama melakukan ini … kedua-dua pihak menekankan tentang pentingnya meningkatkan kemahiran wartawan selaras dengan kemajuan teknologi media serta audien dan pembaca yang semakin bijak.

“Kedua-dua agensi berita tidak lagi menjalankan operasi seperti biasa,” kata beliau. “Bagi Bernama, Kita mempunyai berita Twitter dan infografik. Begitu juga dengan IRNA,” kata beliau.

Azman juga dijadual menemui para pegawai tertinggi Iran selain melawat ke Fakulti Pengajian Media dan Institut Akhbar Iran yang menerbitkan pelbagai akhbar dalam bahasa yang berbeza. – Bernama