Berniaga sambil beramal di Karnival Hijrah

Berniaga sambil beramal di Karnival Hijrah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Bagi menyemarakkan lagi kedatangan awal tahun baru Hijrah tidak lama lagi, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kilanas menganjurkan Karnival Hijrah yang bermula pada hari ini hingga 30 September, bertempat di Airport Mall, Berakas.

Perasmian karnival berkenaan pagi tadi telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Karnival yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu menyediakan sebanyak 36 buah petak untuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan lapan lagi bagi pengusaha-pengusaha produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang terpilih. Antara MPK yang terpilih adalah MPK Kilanas, MPK Putat, MPK Tungku dan Katok, MPK Sengkurong ‘A’, MPK Kawasan 2 RPN Mentiri, MPK Limau Manis dan MPK Bebuloh.

Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu dalam ucapan alu-aluannya berkata, fokus utama karnival berkenaan iaitu berniaga sambil menderma bertujuan memupuk dan menanamkan sikap cintakan keindahan menderma serta semangat bergotong-royong di samping mewujudkan hubungan silaturahim di antara para pembeli dan juga para penjual.

Awang Misle bersama Haji Mohd Rais menyaksikan petak-petak jualan di karnival berkenaan.
Awang Misle bersama Haji Mohd Rais menyaksikan petak-petak jualan di karnival berkenaan.
MPK Kawasan 2, RPN Mentiri turut mengambil bahagian dalam Karnival Hijrah anjuran MPM Kilanas.
MPK Kawasan 2, RPN Mentiri turut mengambil bahagian dalam Karnival Hijrah anjuran MPM Kilanas.

Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi MPK Kilanas, Awang Mohd Asmawi bin Ghani selaku Pengerusi Bersama Karnival Hijrah ketika ditemu bual pula menambah, tujuan lain karnival adalah untuk menyatupadukan pengusaha-pengusaha PKS dan juga pengusaha daripada MPK di Daerah Brunei dan Muara melalui produk 1K1P mereka.

Beliau menyatakan harapan agar para pengusaha akan dapat mempromosikan dan memperkenalkan lagi produk mereka kepada masyarakat, “kerana sebahagian penduduk di Negara Brunei Darussalam tidak mengetahui akan terdapatnya produk yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan.

“Dengan adanya acara sebegini, kita dapat sedikit sebanyak mendedahkan produk-produk yang mereka ada,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, ini merupakan karnival kedua yang dikendalikan oleh MPK Kilanas yang mana sebelum ini mereka telah menganjurkan Karnival Hari Keluarga pada dua minggu lepas di tempat yang sama, dan beliau berharap mereka akan mengadakan lagi karnival seperti ini dengan tema yang berlainan pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA