Berpegang kepada 3K

Berpegang kepada 3K

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Kira-kira 120 pelajar jurusan rekaan dalaman Politeknik Brunei telah menghadiri Muzakarah Nilai-nilai KeBruneian Dalam Konteks Melayu Islam Beraja anjuran Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MIB) yang berlangsung di The Centrepoint Hotel, Gadong, hari ini.

Ceramah anjuran bersama Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei itu menampilkan Ketua Program Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Dr. Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim menyampaikan tajuk ‘Prinsip 3K Teras Reka Bentuk Seni Bina Berlandaskan Konsep Melayu Islam Beraja (MIB).’

Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa generasi muda kini perlu berpegang kepada 3K iaitu kebenaran, kebergunaan dan keindahan dalam seni bina selain menonjolkan keunikan seni Melayu Brunei yang berteraskan kepada MIB.

Pengiran Dr. Khairul Rijal ketika menyampaikan ceramahnya.
Pengiran Dr. Khairul Rijal ketika menyampaikan ceramahnya.
Antara pelajar Politeknik Brunei yang menghadiri muzakarah tersebut.
Antara pelajar Politeknik Brunei yang menghadiri muzakarah tersebut.

Muzakarah itu turut memberikan peluang kepada para pelajar menghasilkan reka bentuk yang berkonsepkan MIB, sekali gus memupuk keyakinan diri untuk tampil dengan reka bentuk tersendiri berasaskan konsep negara ini.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho, Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar serta para pensyarah Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei.