Berpesta di Sungai Tutong

Berpesta di Sungai Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 6 Sept – Pesta Sungai Festival Perayaan 69 Daerah Tutong, yang berlangsung di Tantangan Persiaran Sungai Tutong, hari ini, memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun bagi daerah ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan Pesta Sungai, pagi tadi, ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Awang Shaminan bin Haji Tengah.

Pesta berkenaan disertai sebanyak 17 pasukan dalam acara lumba perahu, tujuh dalam perlumbaan bot laju dan lima peserta dalam perlumbaan jet ski.

Antara kategori lumba perahu berkayuh yang menarik perhatian ialah perlumbaan 20 pekayuh 1,000 meter majlis-majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong, perlumbaan 20 pekayuh antara daerah-daerah dan 20 pekayuh 1,000 meter terbuka seluruh negara.

Awang Wardi bergambar ramai bersama para pemenang perlumbaan 20 pekayuh.
Awang Wardi bergambar ramai bersama para pemenang perlumbaan 20 pekayuh.
Acara Lumba 20 Bekayuh dijalankan di Tantangan Persiaran Sungai Tutong.
Acara Lumba 20 Bekayuh dijalankan di Tantangan Persiaran Sungai Tutong.

Sementara itu, hadir menyaksikan perlumbaan jet ski dan lumba perahu lain pada sebelah petang ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Di samping perlumbaan, pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan bazar gerai-gerai jualan.

Antara tujuan Pesta Sungai ini adalah bagi mengekalkan warisan budaya tradisi lumba perahu dan salah satu usaha berterusan bagi memperkenalkan Sungai Tutong sebagai salah satu destinasi menarik di daerah ini selaras dengan inspirasi ‘Tutong Sebagai Daerah Destinasi’.