Berpisah sejak 1976, pengantin baharu diraikan

Berpisah sejak 1976, pengantin baharu diraikan

BESUT, 22 Mac – Selepas hampir 40 tahun berpisah sebagai rakan sekolah, Awang Cucu Amin dan Noraini Abd Rahman disatukan dalam ikatan perkahwinan.

Lebih menarik majlis perkahwinan pasangan yang berusia 57 tahun itu, dianjurkan di rumah rakan mereka, Rosli Wan Su, di Kampung Alur Lintang, di sini semalam, dan turut dihadiri 160 bekas pelajar Sekolah Menengah Nasiruddin Shah, Besut.

Awang Cucu, yang berasal dari Membakut, Sabah, bertemu isterinya di sekolah itu semasa tingkatan satu pada 1972 selepas terpilih mengikuti program khas kerajaan negeri Sabah yang menghantar 16 pelajar cemerlang untuk belajar di Semenanjung.

“Semasa belajar di sini, saya ditempatkan satu kelas dengan Noraini dan kadangkala saya mendapatkan bantuannya untuk membiasakan diri menimba ilmu di sini,” kata bekas pesara Jabatan Kerja Raya Sabah itu kepada Bernama hari ini.

Menurut Awang lagi, perkenalannya itu hanya sebagai kawan biasa hingga mereka berpisah selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1976 dan beliau kembali ke Sabah.

Dua bekas pelajar SM Nasiruddin Shah Besut, bernikah semalam selepas terpisah sejak 1976. Awang Cucu Amin, 57, (tiga,kiri) dan anak jati Besut, Noraini Abd Rahman, 57, (dua,kanan) disahkan sebagai suami isteri dalam satu majlis di Kampung Alur Lintang. – Bernama
Dua bekas pelajar SM Nasiruddin Shah Besut, bernikah semalam selepas terpisah sejak 1976. Awang Cucu Amin, 57, (tiga,kiri) dan anak jati Besut, Noraini Abd Rahman, 57, (dua,kanan) disahkan sebagai suami isteri dalam satu majlis di Kampung Alur Lintang. – Bernama

“Kami membawa haluan masing-masing dan saya mula bekerja di Sabah manakala Noraini pula bertugas dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Terengganu.

“Tanpa disangka-sangka saya bertemu semula dengan Noraini dalam satu majlis pada tahun 2014 dan dari situ cinta saya berputik semula. Saya kerap berhubung menerusi WhatsApp hinggalah membawa kami ke jinjang pelamin,” kata Awang Cucu lagi. – Bernama