Berpotensi dijadikan produk pelancongan

Berpotensi dijadikan produk pelancongan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Jun – Sambutan Hari Gawai mempunyai potensi sebagai salah satu produk pelancongan yang menarik dan jika diusahakan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan tidak mustahil ia akan dapat diraikan bersama para pelancong yang datang ke negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri semasa berucap di acara Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Apak-Apak Bang Taong Mukim Sukang, dekat sini.

Beliau berkata, biarpun masyarakat Iban merupakan kaum minoriti di negara ini tetapi kepelbagaian adat dan tradisinya turut mewarnai penduduk negara ini, selain Bang Taong mempunyai potensi untuk dibangunkan menjadi produk yang unik.

“Bukan saja bersandarkan kepada Sambutan Hari Gawai semata-mata tetapi persekitarannya yang masih asli, memberi peluang kepada para pelancong untuk belajar mengenai perubatan tradisi daripada hutan sambil berkesempatan mengalami kehidupan peladang atau petani, dan kehidupan di rumah panjang pasti memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelancong,” katanya.

Beliau seterusnya berkata potensi itu perlu dibangunkan bersama-sama penduduk kampung dan usaha sama dengan pelabur tempatan atau asing yang perlu juga diambil kira bagi menepati piawaian produk pelancongan, manakala lain-lain potensi adalah bagi penghuni rumah panjang menyediakan perkhidmatan ‘home stay’ yang berkualiti.

Hajah Normah Suria Hayati semasa menyaksikan pameran hasil kraf tangan penghuni Rumah Panjang Bang Taong.
Hajah Normah Suria Hayati semasa menyaksikan pameran hasil kraf tangan penghuni Rumah Panjang Bang Taong.
Antara adat tradisi yang dilakukan semasa acara keraian Sambutan Hari Gawai.
Antara adat tradisi yang dilakukan semasa acara keraian Sambutan Hari Gawai.

“Pembangunan Bang Taong perlu dilakukan secara holistik serentak meliputi sektor pelancongan, pertanian dan perhutanan, selain ia juga dapat meningkatkan pendapatan penduduk di rumah panjang dan mengelakkan penghijrahan ke bandar,” ujarnya lagi.

Sambutan Hari Gawai merupakan salah satu keraian yang diadakan setahun sekali yang menandakan tamatnya musim menuai padi, dan tibanya musim penanaman padi yang baru, ianya lazim disambut pada bulan Mei dan awal bulan Jun, dan perayaannya disambut mengikut kehendak dan tujuan masyarakat Iban di negara ini.

Sementara itu Pemangku Ketua Kampung Apak-Apak, Bang Taong Mukim Sukang, Awang Angkasan Anak Jawa pula menyatakan bahawa salah satu projek yang sedang dilaksanakan di sana termasuklah Penternakan Ikan Air Tawar, Ternakan Burung Puyuh dan Ladang Kebun Luar Bandar yang kini dikerjakan seramai 83 peladang.

ARTIKEL YANG SAMA