Berpotensi jadi kawasan pertumbuhan baru

Berpotensi jadi kawasan pertumbuhan baru

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) – Komitmen Jepun di sub-rantau Mekong akan memastikan pembangunan mampan jangka panjang di Indochina, selain meningkatkan potensinya untuk menjadi pusat pertumbuhan baru di rantau ini, menurut Pemangku Menteri Perdagangan Kemboja, Pan Sorasak.

“Potensi wilayah Mekong adalah besar berikutan ia mewakili separuh daripada penduduk ASEAN (kira-kira 240 juta). “Program yang dilaksanakan akan memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah sederhana,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Mekong-Jepun Ke-7 di sini hari ini.

Beliau berkata pada mesyuarat itu, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dari sub-rantau Mekong dan rakan sejawat mereka dari Jepun menyatakan komitmen mereka untuk melihat inisiatif di bawah pelan tindakan ‘Strategi Baharu Tokyo 2015’ yang dilaksanakan mengikut perancangan.

Jepun mengikrarkan 750 bilion yen dalam Bantuan Pembangunan Rasmi untuk membangunkan kawasan tersebut untuk tempoh tiga tahun akan datang mulai tahun depan.

Selain pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan kesalinghubungan, Pan berkata tumpuan turut bagi membangunkan dan meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Diwujudkan pada 2008, Kerjasama Mekong-Jepun terdiri daripada Jepun dan lima buah negara ASEAN, iaitu Kemboja, Myanmar, Laos, Thailand dan Vietnam.

Strategi Baharu Tokyo 2015, yang diterima pakai pada Julai, akan menerajui pembangunan di wilayah Mekong berdasarkan empat tonggak, iaitu usaha ‘fizikal’, yang termasuk pembangunan infrastruktur industri di wilayah tersebut dan mengukuhkan kesalinghubungan ‘fizikal’.