Berpuluh mungkin dijangkiti antraks

Berpuluh mungkin dijangkiti antraks

WASHINGTON, 28 Mei (AFP) – Kira-kira 22 orang di Korea Selatan dan empat orang pekerja makmal Amerika Syarikat (AS) mungkin terdedah kepada antraks selepas pihak ketenteraan Amerika dengan tidak sengaja telah membawa keluar sekurang-kurangnya satu contoh hidup antraks, menurut para pegawai.

Empat kakitangan makmal sedang menjalani rawatan perubatan sebagai langkah berwaspada selepas pihak tentera menghantar contoh itu di dalam negeri menuju makmal komersial di Maryland, menurut para pegawai AS semalam.

Sekitar 22 orang kakitangan mungkin terdedah kepada antraks ketika latihan makmal di Pangkalan Pasukan Udara AS, Osan di Korea Selatan yang menggunakan contoh yang dihantar daripada kumpulan yang sama, menurut kenyataan tentera hari ini.

Selain pangkalan tentera di Korea Selatan, lebih berpuluh kerajaan dan makmal komersial lain di sembilan buah negeri AS telah menerima contoh itu daripada penghantaran yang tidak disengajakan itu, menurut para pegawai.

Kesemua contoh telah disinari dalam bulan Mac tahun lalu di makmal tentera di Utah dan sepatutnya telah ‘mati’.

Pintu masuk ke Pangkalan Pasukan Udara AS, Osan di Pyeongtaek, selatan Seoul. – AFP
Pintu masuk ke Pangkalan Pasukan Udara AS, Osan di Pyeongtaek, selatan Seoul. – AFP

Tetapi pada Jumaat lalu, sebuah firma swasta di Maryland memaklumkan pihak berkuasa bahawa contohnya masih aktif, yang menimbulkan kajian segera ke atas semua bahan ke makmal lain, menurut pegawai pertahanan.

Empat orang di tiga syarikat berlainan yang ‘menangani antraks hidup’ telah menerima rawatan selepas pendedahan sebagai langkah berjaga-jaga.

Para pegawai Pentagon dan kesihatan berkata kejadian itu tidak mengancam kesihatan awam.

“Tidak ada risiko yang diketahui kepada orang awam, dan tidak ada kes yang disyaki atau disahkan tentang jangkitan antraks ke atas pekerja makmal yang mudah terdedah,” jurucakap Pentagon Kolonel Steven Warren berkata dalam satu kenyataan.

Pangkalan Pasukan Tentera Udara Osan juga menekankan bahawa tidak ada risiko ke atas orang ramai.

Menurutnya amaran telah dikeluarkan selepas didapati bakteria sedang digunakan dalam latihan mungkin contoh tidak aktif.