Bersaing cipta hatrik

Bersaing cipta hatrik

BERLIN, 15 Jun – Cristiano Ronaldo, Robert Lewandowski dan Andre Schuerrle masing-masing mencipta hatrik untuk membantu Portugal, Poland dan Jerman berada di landasan betul dalam kempen kelayakan Euro 2016 semalam.

Juara dunia Jerman melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Gibraltar untuk berada satu mata di belakang Poland selaku pendahulu Kumpulan D, sementara Denmark, Hungary dan Kepulauan Faroe turut mencipta kemenangan.

Portugal bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Armenia manakala Lewandowski mencatat sejarah baharu di pentas kelayakan Euro apabila menghasilkan jaringan hatrik dalam tempoh empat minit ketika Poland menewaskan Georgia 4-0. Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, Ireland sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Scotland.

Sementara itu, pendahulu kumpulan I, Portugal ketinggalan seawal minit ke-14 menerusi sepakan bebas menarik Marcos Pizzelli tetapi Ronaldo menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29 untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Armenia.

Bintang Real Madrid itu terus menambah dua lagi jaringan pada minit ke-55 dan 58 untuk membantu Portugal meraih tiga mata. Ketika permainan babak kedua berlangsung 10 minit, Portugal terpaksa beraksi 10 orang setelah pemain tengah Tiago dilayangkan kad kuning kedua dan kelebihan itu dimanfaatkan pemain pertahanan kanan Armenia, Hrayr Mko­yan untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-72.

Kemenangan itu membantu Portugal mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan I dengan mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan, dua mata di hadapan Denmark yang menang 2-0 ke atas Serbia menerusi jaringan Yussuf Poulsen pada minit ke-13 dan Jakob Poulsen (m-87).

Dalam Kumpulan D, Poland terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan selepas menewaskan Georgia yang mana keempat-empat gol diperoleh pada babak kedua.

Poland membuka tirai jaringan pada minit ke-62 apabila rembatan kaki kiri penyerang Aradiusz Milik menerjah jaring untuk meletakkan pasukan itu di hadapan, disusuli jaringan hatrik penyerang Bayern Munich, Lewandowski pada minit ke-89, 90 dan 92. Lewandowski kini telah menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan kelayakan setakat ini.

“Kami bermain dengan kesabaran dan tenang untuk memperoleh keputusan yang diharapkan,” kata jurulatih Poland, Adam Mawalka.

Kemenangan itu menyaksikan Poland mengumpul 14 mata daripada enam perlawanan. Kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila diselamatkan penjaga gol tuan rumah Jordan Perez.

“Kami memulakan babak pertama dengan perlahan dan saya gagal menyempurnakan sepakan penalti, tetapi separuh masa kedua kami berjaya menjaringkan banyak gol. – DPA

“Kami dapat tiga mata dan kemenangan 7-0 untuk terus menghidupkan peluang,”

ARTIKEL YANG SAMA