Bersalah seks dengan remaja bawah umur

Bersalah seks dengan remaja bawah umur

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Seorang lelaki Malaysia didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak perempuan di bawah umur.

Ahmad Karim bin Mat Baraim yang berusia dalam lingkungan 40an didakwa melakukan persetubuhan dengan seorang budak perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun pada 6 Oktober 2011 sekitar jam 2:45 petang di sebuah rumah di Jalan Bengkurong Masin.

Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo memberitahu mahkamah, mangsa ketika itu diambil oleh teman lelakinya dari sekolah agama, dan tertuduh pada masa itu turut berada di dalam kereta yang dipandu oleh teman lelaki mangsa.

Tiba di rumah mangsa, mangsa dan teman lelakinya kemudian mengadakan hubungan seks di dalam bilik.

Ketika teman lelakinya pergi ke bilik mandi, tertuduh mengambil peluang untuk masuk ke bilik mangsa di mana mangsa ketika itu dalam keadaan yang lemah.

Tertuduh mengambil kesempatan untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa meskipun mangsa cuba mengelak daripada didekati tertuduh.

Mangsa yang masih dalam keadaan lemah tidak mampu untuk menjerit meminta bantuan. Selepas tertuduh pergi, mangsa memberitahu teman lelakinya bahawa tertuduh telah memaksanya untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Teman lelakinya dan tertuduh kemudian menghantar mangsa kembali ke sekolah.

Di sekolah, mangsa telah pengsan dan sebaik sedar, mendapati dirinya berada di dalam kereta bapa saudaranya sementara menunggu ketibaan bapanya yang akan membawa mangsa ke hospital.

Mangsa memberitahu bapanya bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman menetapkan 6 Ogos untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.