Bersama banteras penyakit berjangkit

Bersama banteras penyakit berjangkit

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Usaha berterusan untuk membanteras penyakit berjangkit bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat hari ini, malah pengalaman silam membuktikan bahawa penyakit berjangkit boleh dibasmi dengan berkesan.

Maka, keutamaan yang perlu diberikan tumpuan kini ialah supaya bidang perubatan terus berusaha gigih untuk menghasilkan penemuan vaksin yang baru serta bantuan perubatan terapeutik, terutama dalam rawatan penyakit HIV.

Saranan itu disuarakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Mesyuarat Kumpulan Pakar ASEAN Bagi Penyakit Berjangkit (AEGCD) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun , Gadong hari ini.

Mesyuarat selama tiga hari yang bermula hari ini hingga 20 Ogos 2015 itu dihadiri oleh 40 delegasi yang terdiri daripada perwakilan negara ASEAN, pegawai dari Sekretariat ASEAN dan wakil dari negara-negara berkepentingan iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

Gambar ramai para perwakilan yang menghadiri mesyuarat selama tiga hari itu.
Gambar ramai para perwakilan yang menghadiri mesyuarat selama tiga hari itu.

Dr Haji Mohd Khalifah berkata, ketiadaan vaksin tidak bermakna satu kelemahan, sebaliknya kerjasama yang diadakan dengan berkesan serta melaksanakan strategi-strategi yang sudah dipersetujui bersama mampu melakukan perubahan dan menyelamatkan nyawa.

“Untuk melaksanakan strategi yang berkesan dalam masyarakat moden hari ini memerlukan usaha yang bersepadu dan konsisten oleh setiap negara yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa satu platform perbincangan untuk bertukar dan berkongsi maklumat adalah utama kerana membolehkan kumpulan pakar perubatan dari negara serantau, seperti yang hadir pada mesyuarat itu, membincangkan mengenai kajian dan penemuan, bertukar pandangan serta berkongsi maklumat mengenai penyelidikan dan pembangunan, di samping memberi kesempatan kepada pihak-pihak yang berkepentingan sama-sama mengambil bahagian.

Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah seterusnya menyeru para perwakilan yang hadir supaya bekerjasama dengan lebih erat lagi bagi menangani cabaran yang dihadapi, iaitu bersiap sedia dan berusaha untuk mendapatkan sumber yang diperlukan bagi menghasilkan kaedah dan langkah untuk membanteras penularan penyakit berjangkit.

Majlis itu juga menyaksikan upacara penyerahan Pengerusi Mesyuarat Kumpulan Pakar ASEAN Bagi Penyakit Berjangkit Ke-11 kepada Vietnam yang akan menjadi tuan rumah seterusnya bagi AEGCD pada 2016.

Kumpulan ASEAN AEGCD merupakan sebuah rangka kerja ASEAN yang berfungsi sebagai platform untuk ahli-ahli negara ASEAN berkongsi maklumat dan membincangkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Selain itu, AEGCD juga berfungsi untuk menguatkan lagi mekanisme koordinasi yang sedia ada di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA