Bersama basmi dadah

Bersama basmi dadah

NEW YORK, 22 April – Negara-negara di seluruh dunia bertanggungjawab menangani ancaman dadah kerana ia merupakan gejala yang wujud di setiap pelosok sempadan pada semua peringkat dan ia merupakan masalah bersama.

Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar ketika berucap pada Sesi Khas Perhimpunan Agung PBB mengenai Masalah Dadah Dunia (UNGASS) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurutnya lagi, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali menerima ancaman narkotik yang tidak dapat dielakkan dalam setiap negara, namun negara ini komited untuk membasmi masalah dadah dunia dan memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan tiga perkara utama yang digariskan dalam konvensyen pengawalan dadah antarabangsa.

Dato Paduka Haji Hamdan juga menegaskan Brunei Darussalam mengambil pendekatan komprehensif dan seimbang melalui strategi pengurangan bekalan dan permintaan yang mantap dan rangka kerja menyeluruh dalam perundangan, dasar dan pentadbiran.

Beliau turut menekankan kepentingan reformasi dasar dadah yang tidak selalunya berfungsi atau boleh diguna pakai di semua negara kerana tidak ada ‘pendekatan satu cara’ yang boleh menangani masalah dadah, dan untuk berbuat demikian, hak kedaulatan sesebuah negara perlu diambil kira.

Dato Paduka Haji Hamdan semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Khas Perhimpunan Agung PBB mengenai Masalah Dadah Dunia (UNGASS).
Dato Paduka Haji Hamdan semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Khas Perhimpunan Agung PBB mengenai Masalah Dadah Dunia (UNGASS).

Beliau turut memuji langkah ASEAN untuk mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap dadah dan ASEAN komited untuk mengekang dan membasmi gejala dadah dan mengutuk penggunaannya dalam masyarakat.  Mesyuarat yang dihadiri oleh semua negara anggota PBB termasuk ketua kerajaan, negara, menteri, timbalan menteri, ketua jabatan bertanggungjawab bagi isu-isu haram dadah dan organisasi relevan dan organisasi bukan kerajaan, perwakilan masyarakat dan ahli akademik selama tiga hari itu, menyokong dokumen sesi khas bertajuk ‘Komitmen Bersama Kami untuk Mengutarakan dan Membasmi Masalah Dadah Dunia.’

Delegasi Brunei disertai oleh Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke PBB, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Abdul Ghafar bin Haji Ismaill dan juga pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Biro Kawalan Narkotik dan Duta Brunei Darussalam ke New York.

ARTIKEL YANG SAMA