Bersama cegah jenayah

Bersama cegah jenayah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Azrol Azmi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dalam usaha memberigakan mengenai tugas, fungsi, peranan dan tanggungjawab Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) kepada orang ramai, pameran Sambutan Hari Polis ke-95 dirasmikan pembukaannya hari ini di Airport Mall.

Pameran bermula hari ini hingga 1 Mei depan itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, warga polis serta pegawai kanan dari unit penguat kuasa undang-undang yang lain.

Pameran kali ini yang bertemakan ‘Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat’ itu antara lain bertujuan bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat dalam membendung dan menghalang daripada berlakunya kegiatan jenayah.

Di samping itu, ia juga memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai kes-kes jenayah yang berlaku di negara ini.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin merasmikan pameran sempena Sambutan Hari Polis ke-95.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin merasmikan pameran sempena Sambutan Hari Polis ke-95.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyaksikan petak salah sebuah jabatan yang menyertai pameran itu.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyaksikan petak salah sebuah jabatan yang menyertai pameran itu.

Pameran tersebut disertai oleh jabatan-jabatan lain yang terdiri dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penjara, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Biro Mencegah Rasuah (BMR), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES).

Selain itu, pameran turut disertai oleh beberapa buah syarikat swasta yang mempamerkan produk keselamatan termasuk Pengawasan Kejiranan Daerah-daerah Polis.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke pameran itu dan seterusnya berpeluang mendengar taklimat dan penerangan yang disampaikan oleh wakil-wakil yang menyertai pameran tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA