Bersama cegah virus zika

Bersama cegah virus zika

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah mengadakan Kempen Kebersihan Cegah Virus Zika di Sekolah Ugama Sungai Besar.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, melihat kepada bahayanya virus zika yang menular daripada nyamuk Aedes Aegypti yang sudah dikenal sebagai penular demam berdarah, program kempen berkenaan diadakan untuk memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai bahaya jangkitan virus zika.

Selain itu, ia juga berobjektif untuk meningkatkan pengetahuan dan informasi mengenai langkah-langkah mencegah virus berkenaan dan memastikan kawasan persekitaran terutama kawasan sekolah bersih daripada pembiakan nyamuk.

Antara lain tujuan program ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan kesedaran dan amalan menjaga kesihatan serta kebersihan di persekitaran sekolah dan meningkatkan lagi tahap kebersihan dan kesihatan di sekolah-sekolah di bawah kawalan JPI.

Antara yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
Antara yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

Menurut Dayang Hajijah, program ini sangat signifikan dan selari dengan tuntutan agama Islam yang menitik beratkan supaya kita semua menjaga kebersihan, khususnya kebersihan persekitaran kita agar sentiasa bersih, jauh daripada binatang-binatang pembawa penyakit seperti nyamuk, lalat, tikus dan sebagainya.

Program berkenaan diselajurkan dengan dua sesi taklimat mengenai ‘Bahaya Virus Zika’ yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Dr. Lena binti Haji Mohd Salleh, dan taklimat mengenai ‘Kawalan Vektor dan Kebersihan Alam Sekitar’ yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Awam, Bahagian Kesihatan Alam Sekitar, Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Jaharayani binti Haji Bujang,

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada kakitangan sekolah yang menyumbang kepada kebersihan sekolah, penyampaian mesin blower kepada kakitangan sekolah, menyaksikan pameran mengenai pembawaan nyamuk aedes, dan menanam pokok bunga yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA