Bersama ke arah ‘Brunei Maju’

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang sosioekonomi, untuk melangkah lebih jauh sehingga ke pasaran antarabangsa.

“Ini termasuk penubuhan Bank Usahawan yang akan memulakan operasinya pada awal tahun 2018 ini.

“Dalam bidang yang sama, kita juga menyedari, bahawa setiap insan itu mempunyai keupayaan dan kelebihan yang berbeza-beza. Maka dalam hal ini, demi kesejahteraan orang-orang kelainan upaya, Beta telah memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya.

“Melalui pindaan ini, Elaun Kurang Upaya akan juga dapat dihulurkan kepada mereka yang berumur di bawah 15 tahun, yang layak pada kadar tertentu. Pindaan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018,” titah Baginda sempena Sambutan Awal Tahun Baru Masehi 2018 di Istana Nurul Iman, disiarkan di saluran radio dan televisyen seluruh negara, hari ini.

Baginda bertitah, “Dengan pindaan ini diharapkan, kebajikan dan kesejahteraan penerima-penerima elaun tersebut akan lebih terjamin.” Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda mengimbau kembali rancangan-rancangan negara yang telah dapat dilaksanakan pada 2017.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Tahun Baru 2018 di Istana Nurul Iman. – Gambar Infofoto

“Kita juga bernasib baik telah menikmati detik gemilang Sambutan Jubli Emas Beta Menaiki Takhta. Dengan tulus ikhlas Beta sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak, dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas dan semua acara di dalamnya.”

Baginda bertitah bahawa kemeriahan sambutan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk, termasuk para pengunjung dari luar negara, mencerminkan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

“Ini perlu dipertahankan, supaya negara terus kekal dalam aman dan makmur untuk diwarisi oleh generasi demi generasi.”

Baginda seterusnya bertitah dari tahun ke tahun, kita adalah semakin hampir ke tempoh sasaran bagi Wawasan Brunei 2035.

“Tempoh itu semakin ia menghampiri kita, maka semakin besarlah tanggungjawab untuk kita memastikan bahawa, langkah kita tidaklah ke mana-mana, melainkan hanya terarah kepada sasaran sahaja, sehingga tercapainya matlamat ‘Brunei Maju’.

“Tentu saja, dalam mendukung ‘Brunei Maju’ ini, negara memerlukan kerjasama erat antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat seumumnya.”

Baginda menekankan bahawa kerjasama erat semua pihak itu amat diperlukan kerana dengan kerjasama itulah akan menjadikan iklim perniagaan dan perusahaan bertambah mudah, sekali gus akan menjadikan negara juga lebih menarik di mata pelabur-pelabur asing.

“Jika suasana begini mampu dikekalkan, maka itulah satu kelebihan bagi Brunei di mana Brunei perlu memilikinya.”

Dalam bidang pendidikan pula, Baginda Sultan bertitah bahawa negara adalah berhak untuk berbangga dengan kejayaan Universiti Teknologi Brunei meraih 4 bintang pada penilaian keseluruhan QS, dan juga dengan beroperasinya Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. “Ditambah lagi dengan pembukaan Pusat Global UBD-FPT di Republik Sosialis Vietnam baru-baru ini. Ini semua bukti kecemerlangan jua.”

Di arena antarabangsa, Baginda bertitah, “Kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, di samping turut menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita. Dalam hal ini, Beta merasa bangga atas inisiatif dan sambutan orang ramai yang telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya dan kepada mereka yang memerlukan.”

Baginda bertitah, “Baru-baru ini Brunei Darussalam adalah antara 57 buah negara anggota OIC telah menyuarakan sokongan penyelesaian bagi sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.

“Beta juga menegaskan dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul itu, tentang betapa pentingnya perpaduan umat Islam pada masa ini berbanding sebelumnya.

“Pendirian kita adalah tegas untuk melihat dunia ini dipenuhi dengan keadilan, tanpa siapa pun merasa teraniaya oleh sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan.

“Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta serta pasukan-pasukan keselamatan, di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2017.”