Bersama panjatkan doa untuk negara

Bersama panjatkan doa untuk negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun, acara keagamaan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Yasin dan Doa Kesyukuran akan diadakan secara serentak di kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada 22 Februari ini mulai jam 5:45 petang.

Kementerian Hal Ehwal Ugama, dalam kenyataannya, turut memaklumkan bahawa tumpuan utama acara berkenaan adalah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Manakala itu, masjid-masjid tumpuan lain termasuk Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan bagi Daerah Brunei dan Muara.

Di Daerah Belait pula, masjid-masjid tumpuan adalah Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria, sementara itu, tumpuan di Daerah Tutong ialah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir dalam sama-sama memanjatkan doa bagi keamanan dan kesejahteraan berterusan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA