Bersama tangani perubahan iklim

Bersama tangani perubahan iklim

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Negara Brunei Darussalam terus komited memainkan peranannya dalam memenuhi tanggungjawab serta komitmen negara dalam menangani perubahan iklim sereta kesan daripadanya selaras dengan komitmen negara selaku ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Perubahan Iklim (UNFCCC) dan juga Protokol Kyoto.

Dalam hubungan itu, Brunei telah melaksanakan pelbagai inisiatif pengurangan dan tindakan untuk menangani perubahan iklim dalam negara walaupun hanya memberikan sumbangan kurang daripada 0.02 peratus pelepasan global bersih (net global emission).

Di antara inisiatif yang dilaksanakan adalah termasuk melaksanakan inisiatif Nadi Borneo, mempromosikan bangunan hijau serta memasukkan dimensi alam sekitar dalam projek-projek pembangunan negara melalui Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar ketika berucap di Forum Perubahan Iklim yang berlangsung di Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Mengulas lanjut komitmen negara kepada menangani isu perubahan iklim itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa walaupun negara meletakkan keutamaan kepada sekuriti makanan, termasuk penghasilan padi, namun sebuah lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan bagi penanaman padi di Daerah Belait yang terletak di kawasan paya gambut terus dipertahankan bukan sahaja bagi kebaikan alam sekitar negara tetapi juga bagi kepentingan kawasan paya gambut kepada dunia.

pg08_150616_a

Di antara para tetamu yang menghadiri forum berkenaan.
Di antara para tetamu yang menghadiri forum berkenaan.

Yang Berhormat Pehin turut berkata bahawa Brunei telah mensahkan Pindaan Doha kepada Protokol Kyoto pada November 2014 dan sehingga hari ini, Brunei merupakan di antara 32 buah negara ahli yang telah mensahkan Pindaan Doha bagi memastikan sasaran kepada pengurangan perlepasan oleh negara-negara ahli yang maju.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 23 September 2014 bertitah Negara Brunei Darussalam bersedia untuk memainkan peranannya bersama-sama dunia dalam menangani isu global penting terhadap perubahan iklim serta melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan penggunaan yang berhemah sumber-sumber tenaga dan pemuliharaan hutan yang bertindak sebagai kawasan tadahan karbon (carbon sink).

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Brunei berharap akan wujud satu perjanjian global yang akan membawa kita jauh ke hadapan selepas 2015 iaitu satu perjanjian yang efektif, teguh, berpandangan jauh serta terikat secara undang-undang yang selaras dengan prinsip dan peruntukan UNFCCC bagi memastikan tindakan bermakna diambil terhadap perubahan iklim.

Forum perubahan iklim itu dilaksanakan bersama oleh Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Jerman di Negara Brunei Darussalam dan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam di mana ia mengetengahkan pentingnya untuk menangani isu-isu berhubungan perubahan iklim sebelum Persidangan Iklim (COP21) yang akan berlangsung di Paris, Perancis pada Disember nanti.

Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron, Duta Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Roland Grafe dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell dalam kenyataan bersama mereka di majlis berkenaan menyatakan bahawa perubahan iklim memberikan ancaman kepada semua masyarakat, ekonomi dan alam sekitar di seluruh dunia dan oleh itu, 2015 harus menjadi tahun bagi menetapkan rundingan terhadap perubahan iklim.

Mereka berkata bahawa adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah perjanjian antarabangsa untuk mengadukan kenaikan suhu global kepada bawah dua darjah Celsius.

Dalam hubungan itu, mereka menyatakan bahawa forum perubahan iklim yang dilaksanakan akan memberikan peluang untuk bertukar-tukar pandangan bersama Negara Brunei Darussalam mengenai kerja-kerja persediaan yang diperlukan bagi mencapai matlamat yang dihasratkan semasa persidangan Paris.

Di majlis berkenaan, Duta Berkelana Perancis bagi Rundingan Iklim Rantau Asia, Tuan Yang Terutama Philippe Zeller turut menyampaikan ceramah mengenai Persidangan Paris 2015 nanti sebelum Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Tenaga Kebangsaan Brunei (BNERI), Dr Weerawat Chantarakome, menyampaikan ucaptama mengenai konteks saintifik bagi rundingan dalam UNFCCC.