Bersara bukan pilihan – Nadal

Bersara bukan pilihan – Nadal

LONDON, 5 Julai (AFP) – Rafael Nadal menegaskan dia tidak bercadang bersara sekalipun tewas bagi tahun keempat berturut-turut pada kejohanan Wimbledon, kelmarin.

Pemain Sepanyol berusia 29 tahun itu, juara Wimbledon pada 2008 dan 2010 serta naib juara pada 2006, 2007 dan 2011, kecundang 5-7, 6-3, 4-6, 4-6 kepada pemain nombor 102 dunia dari Jerman, Dustin Brown pada pusingan kedua.

Brown, yang pernah tidak cukup wang menyebabkannya bertanding menaiki van perkhemahan, membenam 13 ace dan 58 pukulan winners.

Ia kekalahan pertama Nadal di tangan pemain dari pusingan kelayakan pada acara Grand Slam dan hadir selepas gagal memenangi Terbuka Perancis yang dijuarainya sembilan kali.

Kekalahan kelmarin menyusuli penyingkirannya pada pusingan kedua di tangan pemain nombor 100 dunia, Lukas Rosol pada 2012, tewas pada pusingan pertama oleh pemain ranking ke-135, Steve Darcis pada 2013 sebelum kalah pada pusingan keempat tahun lalu kepada Nick Kyrgios, ketika itu menduduki ranking ke-144.

Nadal meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Dustin Brown pada pusingan kedua kelmarin. – Reuters
Nadal meninggalkan gelanggang selepas tewas kepada Dustin Brown pada pusingan kedua kelmarin. – Reuters

Namun juara 14 acara Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia itu berazam untuk terus berjuang dalam usaha memulihkan reputasinya sebagai pemain paling digeruni dalam sukan itu.

“Jadi saya tewas. Sudah tentu saya sedih hari ini,” kata Nadal, yang tampil pada kejohanan itu di kedudukan ke-10, ranking terburuknya dalam tempoh sedekad.

“Tapi inilah sukan. Saat bagus, saat teruk. Jelas hari ini ia saat teruk buat saya. Saya hanya perlu menerima hakikat ini boleh berlaku. Saya menerimanya sepanjang karier saya.

“Saya akan teruskan. Ia bukannya penamat. Kehidupan perlu diteruskan begitu juga karier saya. Saya perlu bekerja lebih kuat berbanding biasa untuk mengubah keadaan.”

ARTIKEL YANG SAMA