Bersara dengan selesa atau tanggung hutang pilihan individu

Bersara dengan selesa atau tanggung hutang pilihan individu

Oleh Salawaty Supardi

 

IPOH, 15 Nov – Pilihan sama ada untuk bersara dengan hutang keliling pinggang atau penuh keselesaan terletak di tangan setiap pekerja yang pastinya memerlukan perancangan rapi bermula sejak hari pertama bekerja.

Bagi yang bersara dalam perkhidmatan awam, pastinya tiap bulan menerima wang pencen, namun bagaimana pula yang berkhidmat dengan sektor swasta dan bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Adakah jumlahnya mencukupi?

Pada 2005, KWSP melaporkan ramai pesara menghabiskan duit simpanan mereka dalam jangka masa tiga tahun atas pelbagai alasan dan keadaan itu perlu dielakkan lebih-lebih dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar sekarang.

Selain itu, bagaimana dengan yang bekerja sendiri? Apakah tabungan diyakini mampu menampung keperluan bagi digunakan pada usia tua kelak setelah tiada lagi kudrat untuk bekerja.

Menurut Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia Dr Ahmed Razman Latiff, bagi pekerja swasta yang ingin menikmati persaraan idaman, perancangan dalam pelbagai sudut perlu diatur sebaiknya.

Kakitangan awam mungkin mempunyai kelebihan menerima pencen setiap bulan jika mereka tidak memilih opsyen KWSP.
Kakitangan awam mungkin mempunyai kelebihan menerima pencen setiap bulan jika mereka tidak memilih opsyen KWSP.

Ini termasuk pembelian hartanah, pelan insurans kesihatan, pelaburan unit amanah, menjalankan perniagaan atau membuat pelaburan melalui Skim Persaraan Swasta (PRS), katanya.

Menjelaskan mengenai pembelian hartanah, Ahmed Razman berkata orang ramai cenderung membeli hartanah terutama kediaman lebih daripada seunit kerana mengetahui nilainya tidak akan susut, sebaliknya terus meningkat.

“Jika membeli kemudian disewakan ia boleh dianggap sebagai pelaburan tambahan, tetapi perlu sentiasa lihat liabiliti masing-masing agar tidak membebankan kelak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun pelaburan hartanah mempunyai prospek cerah, tetapi pada masa sama ia mempunyai risiko terutama ketika kadar asas pinjaman (BLR) dinaikkan.

“Jika BLR naik, ansuran bulanan rumah yang tidak tetap akan meningkat sedangkan gaji atau pendapatan bulanan tetap sama, dan jika ia adalah rumah sewa sukar juga untuk naikkan kadar sewaan,” katanya.

Mengenai pembelian insurans hayat, Ahmed Razman berkata ia tidak dapat dielakkan memandangkan ketika ini terdapat pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pada masa sama masyarakat cenderung memilih hospital swasta untuk rawatan.

Ahmed Razman menyarankan supaya masyarakat mengelak daripada membeli terlalu banyak insurans atas alasan ingin menikmati lebih faedah, sebaliknya satu sudah memadai jika penyedia yang dipilih adalah yang terbaik.

“Daripada membeli terlalu banyak adalah lebih baik wang berkenaan dilaburkan ke dalam unit amanah seperti yang disediakan Amanah Saham Nasional Bhd serta Tabung Haji kerana ia dijamin kerajaan,” kata beliau.

KWSP adalah salah satu pilihan simpanan menjamin hari tua.
KWSP adalah salah satu pilihan simpanan menjamin hari tua.

Menjelaskan tentang penggunaan simpanan KWSP, Ahmed Razman berkata jika perlu, gunakanlah secara berhemat, kerana bagi sesetengah pesara ia merupakan tabungan tunggal mereka.

Katanya bagi yang ingin menggunakan wang tersebut untuk modal memulakan perniagaan, individu berkenaan perlu mempunyai ilmu termasuk jenis perniagaan yang bakal diusahakan.

“Jangan terlalu ikut trend. Bangunkan perniagaan yang ada keunikan tersendiri kerana ia beri kelebihan, jika terlalu sama dengan yang lain pelanggan ada pilihan,” katanya.

Menyentuh mengenai PRS, Ahmed Razman berkata ia perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pekerja swasta atau yang berkerja sendiri untuk memastikan mereka mempunyai simpanan bagi diguna pada hari tua kelak.

Katanya walaupun pelaburan itu bersifat sukarela dan jumlah pelaburan terpulang kepada pelabur mengikut kesesuaian masing-masing, tetapi banyak faedah yang bakaldinikmati.

Mereka yang melabur dalam PRS bukan sahaja menikmati pengecualian cukai sehingga RM3,000, tetapi turut pelaburan turut diberi dividen tahunan.

“Pastinya PRS selamat untuk penyimpanan dan pelaburan persaraan berjangka panjang untuk kelangsungan hidup yang sempurna bagi pesara atau yang bekerja sendiri,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA