Bersatu jayakan misi dan visi

Bersatu jayakan misi dan visi

LAHAD DATU 20 Ogos – Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah mengajak semua anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bekerja sebagai satu pasukan bagi membantu menjayakan visi dan misi murni kerajaan memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

Beliau berkata selain itu semua pihak termasuk Esscom perlu berganding bahu bagi memperbetulkan persepsi rakyat Sabah kononnya Kerajaan Persekutuan kurang serius dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat negeri ini terutama yang melibatkan soal keselamatan dan isu pendatang tanpa izin (PATI).

“Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian, sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan yang mantap serta berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan begitu serius dan amat komited di dalam menyelesaikan apa jua isu-isu berbangkit.

Sebab itu, kita perlu bersatu serta bertindak dengan cekap dalam setiap perkara termasuk bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan beberapa perkara penting yang menjadi tumpuan khususnya yang berkaitan dengan soal keselamatan dan isu PATI,” katanya selepas melawat pos kawalan Tanjung Batu, dekat sini semalam.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Komander Esscom Datuk Abd Rashid Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi dan pegawai-pegawai kanan Esscom. – Bernama