Bersatu lebih teguh

Bersatu lebih teguh

Gambar oleh Infofoto

 

ISTANBUL, 14 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini bertitah menekankan kepentingan bagi perpaduan dan kesepakatan dalam kalangan negara-negara ahli OIC dalam menegakkan keadilan dan kedamaian dunia.

Titah Baginda, keadaan keselamatan global yang semakin kompleks dan menakutkan serta ketidaktentuan perspektif ekonomi dunia telah menimbulkan cabaran-cabaran dan peluang-peluang terhadap masyarakat OIC.

Justeru itu, sesuai dengan tema sidang kemuncak, Baginda menekankan agar negara-negara ahli perlu bersatu lebih teguh lagi berbanding sebelum ini.

Dalam titah Baginda pada Sesi Kerja Pertama sidang kemuncak itu yang diadakan di Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki, Baginda Sultan memuji kerja-kerja yang telah dilakukan oleh OIC dalam melaksanakan Program Sepuluh Tahun Mekah, dan seterusnya melahirkan rasa gembira atas segala usaha yang telah membawa kepada peningkatan dalam perdagangan intra-OIC; penekanan yang lebih besar terhadap kesihatan, pendidikan, wanita dan kanak-kanak; dan penubuhan suruhanjaya hak asasi manusia.

Baginda dalam titahnya juga menekankan terhadap keperluan bagi OIC untuk terus meningkatkan kerja dan usaha lagi bagi mengatasi cabaran-cabaran seperti isu teras Palestin, pengganasan, keganasan melampau, Islamofobia, kemiskinan, wabak-wabak penyakit dan bencana-bencana alam.

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin negara di Sidang Kemuncak OIC ke-13.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin negara di Sidang Kemuncak OIC ke-13.

pg03_160415_e

pg03_160415_b

pg03_160415_d

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sesi Pembukaan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam sesi ke-13 di Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sesi Pembukaan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam sesi ke-13 di Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, yang berlangsung di Hamidiye Salon, Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, yang berlangsung di Hamidiye Salon, Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.

Baginda menyambut baik Program Tindakan 2025 OIC dan memberi sokongan terhadap pelaksanaannya. Pelan tindakan yang baru itu diwujudkan atas program tindakan OIC yang sebelum ini dan ianya menangani matlamat-matlamat yang baru seperti perubahan iklim dan pembasmian kemiskinan.

Program baru itu, tambah Baginda, juga menggalakkan dialog-dialog dan moderation antara agama yang merupakan penting dalam menangani kebimbangan terhadap keganasan melampau dan Islamofobia.

Antara perkara penting yang turut Baginda tekankan adalah mengenai nasib rakyat Palestin yang telah dinafikan hak dalam pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi yang bermakna berikutan cabaran-cabaran geopolitik di rantau Asia Barat.

Baginda seterusnya menggesa negara-negara ahli OIC agar terus mengukuhkan segala usaha mereka melalui apa saja cara yang mungkin dapat menyelesaikan isu berpanjangan Negara Palestin, dan seterusnya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi Negara Brunei Darussalam kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan hak bagi menentukan nasib mereka sendiri.

Dalam mengakhiri titah, Baginda menyeru semua negara ahli OIC untuk bersatu dalam jiwa dan raga mereka dalam perpaduan bekerja agar OIC lebih relevan lagi terhadap rakyat-rakyat yang mereka wakili.

Terdahulu Baginda berkenan berangkat menghadiri Sesi Pembukaan Sidang Kemuncak OIC Ke-13 yang diadakan di Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.

Keberangkatan tiba Baginda dialu-alukan oleh Presiden Republik Turki, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam sesi ke-13.

Baginda seterusnya dijunjung menyertai sesi bergambar ramai bersama raja-raja serta ketua-ketua negara dan kerajaan negara-negara ahli dan bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sesi Pembukaan bagi Sidang Kemuncak OIC Sesi Ke-13 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah al-Sisi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Sesi Ke-12 yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Arab Mesir,Tuan Yang Terutama Sameh Hassan Shoukry.

Ini diikuti dengan ucapan daripada Setiausaha Agung OIC, Tuan Yang Terutama Iyad Ameen Madani serta ucapan daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Turki selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Sesi Ke-13.

Di samping menghadiri sesi kerja pertama itu, Baginda Sultan turut berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang berlangsung di Hamidiye Salon, Pusat Kongres Istanbul, Republik Turki.

Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Saudi bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa dan seterusnya membincangkan cara-cara bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA