Bersatu padu, taati agama

Bersatu padu, taati agama

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail & Mohd Asyramisyanie Kamis

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Suasana kehidupan berbaik-baik terutama antara rakyat dan penduduk dengan kerajaan akan mengukuhkan dan menstabilkan pemerintahan serta memberi kesempatan pembangunan infrastruktur dan modal insan berterusan.

Hikmah persefahaman dan perpaduan ini tidak terjadi tanpa usaha bahkan wujud dengan nyata berkat pegangan kuat kepada ajaran agama disertai ciri kepimpinan kerajaan yang berkesan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman selaku khatib menekankan pentingnya hubungan baik rakyat dan penduduk dengan pemimpin ketika menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Kepimpinan yang berkesan itu menjadikan rakyat dan penduduk tetap bersatu padu sambil mentaati ajaran agama dan pegangan kuat kepada ajaran agama menjadikan kita taat kepada suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

Dalam menghayatinya, umat Islam dipimpin untuk lebih cenderung dan mengikut jalan yang selamat dengan memilih sikap bersederhana dan tegas tetapi rasional, tidak emosi, memegang dan mengamalkan agama dengan yakin dan dipimpin pula supaya tidak taksub atau fanatik.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan Khutbah Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.

Sikap beragama itu dimungkinkan dengan adanya pelajaran agama yang teratur dalam sistem pendidikan kebangsaan ditambah lagi gerakan dakwah yang berdisiplin.

“Sesungguhnya kita berpegang kuat kepada ajaran agama menurut ajaran Islam yang sudah wujud dan mengajak umatnya menerima kenyataan, realiti kehidupan yang mensabitkan bahawa Islam itu menyeluruh dan merangkumi berbagai kategori umatnya yang menerima ugama, ataupun mengamalkan ajaran agama menurut kadar-kadar dan darjat pencapaiannya,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

Pegangan kuat beragama atau mengamalkan agama dengan bersungguh-sungguh tidak bererti akan menjadikan umat Islam di Brunei bersikap sebagai pelampau agama.

“Kita boleh beri jaminan bahawa Brunei yang Islam dengan berpegang kuat kepada ajaran agamanya iaitu agama Islam, melaksanakan dan berazam akan meningkatkan pelaksanaan ajaran Islam selaras dengan dasar pemerintahan dan aspirasi negara, adalah akan kekal pada landasan Islamnya yang established,” ujar beliau.

Menurut Yang Berhormat Pehin, untuk kekal pada landasan beragama sedemikian kerajaan telah menyediakan dan melaksanakan sistem pelajaran dan pendidikan ugama Islam daripada peringkat persekolahan rendah hingga peringkat pengajian tinggi. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan di negara ini, dan ditingkatkan mutunya dari semasa ke semasa.

Untuk kekal pada landasan beragama yang sederhana, rasional dan tidak emosi, tegas yang bukan agresif serta berkeyakinan teguh yang tidak fanatik itu, maka kerajaan sebarkan ajaran Islam, khasnya menerusi dakwah secara lebih berkesan untuk bertindak balas kepada keperluan yang berbangkit ekoran kecanggihan alat penyebaran ilmu pengetahuan dan maklumat yang semakin pantas.

Sementara dalam khutbah kedua, Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji negara yang menjadi sebahagian daripada jutaan saudara Islam sedunia yang menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

“Serentak dengan itu kita juga mendoakan keselamatan mereka daripada sebarang kemalangan akibat petaka dan bencana yang tidak diduga,” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai isu pelarian umat Islam dari tanah air sendiri, dengan berkata, suasana nyaman, selamat, aman dan selesa seperti yang dirasakan itu mengenangkan kita kepada ratusan ribu dan puluhan juta lagi saudara seagama yang terperangkap dalam kacau-bilau, dalam huru-hara dan dalam kemusnahan perang di tanah air mereka.

Mereka merupakan korban daripada suatu keadaan di mana angkaranya berpunca daripada perselisihan faham, permusuhan yang diapi-apikan, dinyalakan dan dimarakkan oleh pelbagai faktor kebencian, kecemburuan, sosial dan politik.

Oleh yang demikian, kita yang berada di tanah air yang aman damai ini wajar mengambil iktibar bahawa kita sekarang dan generasi kita yang akan datang hendaklah tidak bersikap sambil lewa keadaan aman damai, selamat dan sejahtera ini.

ARTIKEL YANG SAMA