Bersatu perangi Abu Sayyaf, Daesh

Bersatu perangi Abu Sayyaf, Daesh

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – ASEAN harus bersatu memerangi Abu Sayyaf dan Daesh memandangkan kumpulan militan itu kini menjadi ancaman di rantau ini, kata seorang pakar mengenai keganasan Prof Madya Dr Aruna Gopinath.

Prof Madya Dr Aruna Gopinath, pegawai Pengajian Asia Tenggara di Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata wujud keperluan bagi ASEAN untuk sebulat suara memutuskan tindakan yang harus diambil terhadap kumpulan militan, terutama Abu Sayyaf, yang diiktiraf Daesh sebagai ‘khalifah di rantau ini’.

ASEAN juga harus membuat keputusan sama ada terdapat keperluan untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan pengganas Filipina itu, katanya kepada Bernama.

“Kita percaya dengan dasar tidak campur tangan ASEAN tetapi kini ia adalah suatu ancaman kerana Abu Sayyaf bukan hanya menyerang Malaysia. Ia bergerak ke mana-mana sahaja dari Thailand ke Singapura, dan kita tidak tahu apakah langkah mereka seterusnya,” katanya.

Menyentuh mengenai dasar tidak campur tangan ASEAN, Aruna berkata rundingan hanya boleh diadakan apabila ‘anda berupaya bercakap dengan seseorang tetapi jika diplomasi itu gagal, amaran terakhir adalah perang’.

“Saya percaya jika mereka ini (Abu Sayyaf) tidak memberikan kerjasama, kita harus lakukan serangan ketenteraan,” katanya mengulas peningkatan penculikan yang dilakukan kumpulan itu baru-baru ini.

Julai tahun lepas, pemimpin kanan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, dipaparkan di media sosial mengangkat sumpah taat setia kepada Daesh. Daesh juga telah mengisytiharkan Filipina sebagai khalifah dalam video yang disiarkan pada Jun lepas dalam usaha

kumpulan itu merekrut lebih ramai pejuang dari negara jiran di rantau ini untuk berjuang bersama-sama mereka.

Abu Sayyaf muncul selepas memutuskan hubungan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang ketika itu dipimpin Hashim Salamat ekoran keputusan MILF untuk menerima kuasa autonomi bagi Bangsamoro.

“Kumpulan (Abu Sayyaf) mula berkuasa pada 1991 diketuai Abdul Razak Janjalani. Mereka melaksanakan pemisahan ideologi dengan cara lebih agresif,” kata Aruna yang membuat penyelidikan, memberi tumpuan konflik di Mindanao.

Beliau berkata kumpulan militan itu kemudian mula membunuh ramai mangsanya yang bukan Islam terutama Kristian, dan berkeras untuk pemisahan dan “menganggap membunuh adalah cara paling cepat untuk menjayakan misi itu”, tetapi kerajaan tidak pernah mengalah.

Abu Sayyaf, yang dilaporkan bermula dengan 100 pengikut, sekarang mempunyai lebih 400 anggota.

Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata masalah militan Abu Sayyaf/Daesh telah melangkaui isu keselamatan.

“Kita berada dalam perang tamadun atau propaganda, perang nilai dan budaya. Jadi apabila perkara seperti ini berlaku, kita harus hadapinya bersama-sama dan menentang trend kejam yang tidak diingini ini yang datang ke tanah air kita.

“Ia seharusnya menjadi usaha bersama dalam kalangan masyarakat, mereka yang memiliki kesedaran untuk memerangi ekstremisme dan keganasan kerana dengan pengiktirafan mereka terhadap Abu Sayyaf, mereka (Daesh) kini cuba untuk mengeksport sentimen mereka (ke rantau ini),” katanya.

Maszlee berkata Daesh sekurang-kurangnya mempunyai 6,000 saluran di media sosial, termasuk Twitter, Telegram, WhatsApp dan YouTube dalam pelbagai bahasa, untuk mempromosikan propaganda dan kepercayaan mereka.

“Isu Daesh harus dilihat dalam skop yang lebih besar. Jika gagal berbuat demikian, boleh menyebabkan kesimpulan yang salah.

“Jika kita lihat wacana atau naratif yang sedang digunakan Daesh dan cara mereka merekrut anggotanya, ia adalah suatu kezaliman terhadap umat Islam, tanpa mengira di mana ia berlaku,” katanya.

Maszlee berkata propaganda mereka ini sudah pasti memikat umat Islam untuk berjuang bersama mereka, ‘tetapi mereka gagal memahami iaitu jika mereka bertindak lebih jauh, apa yang mereka lakukan akan mendatangkan lebih kesusahan kepada umat Islam di seluruh dunia’.

“Orang tidak dapat memahami fakta propaganda itu yang sebenarnya. Mereka (Daesh) menggunakan propaganda yang mudah untuk menarik generasi muda, golongan belia,” katanya. – Bernama