Bersatu tangani cabaran globalisasi

Bersatu tangani cabaran globalisasi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Dalam pembangunan negara masing-masing, kesemua 10 buah negara ASEAN telah berpaut kepada kerjasama dua hala dengan rakan masing-masing daripada negara-negara maju untuk kestabilan dan pembangunan negara masing-masing.

Pada masa ini semua negara ASEAN telah mencapai persetujuan untuk mewujudkan masyarakat yang bermatlamat untuk membentuk sebuah rantau yang berdaya tahan di Asia Tenggara dan dalam melakukannya, semua negara anggota ASEAN pada masa hadapan akan dapat menghadapi cabaran globalisasi yang lebih rumit.

Perkara ini telah disentuh oleh penceramah dari Universiti Malaya, Dr Lili Yulyadi Arnakim semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Rumpunism in ASEAN Community: From National Stability to Regional Cohensiveness’ dalam Forum Brunei-Malaysia yang berlangsung di Bilik Senat, Tingkat 1, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), petang tadi.

Kertas kerja beliau bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang boleh membawa kepada pembentukan komuniti ASEAN dalam menjalin wawasan bersama bagi menghadapi cabaran dan peluang dalam dan luar serta membangun sebuah rantau ASEAN yang berdaya tahan.

Dengan menggunakan teori ‘constructivist realist’, beliau berpendapat bahawa rumpunisme sebagai kelayakan serantau strategik boleh menyatukan dan memperkukuhkan ASEAN.

Dr Lili Yulyadi Arnakim semasa menyampaikan kertas kerja yang bertajuk ‘Rumpunism in ASEAN Community: From National Stability to Regional Cohensiveness’ pada forum tersebut.
Dr Lili Yulyadi Arnakim semasa menyampaikan kertas kerja yang bertajuk ‘Rumpunism in ASEAN Community: From National Stability to Regional Cohensiveness’ pada forum tersebut.

Menurut beliau, rumpunisme tidak dimaksudkan sebagai serumpun seperti mana dengan rumpun Melayu tetapi ia merujuk kepada strategik kelayakan serantau yang mempunyai dua aspek penting iaitu keseragaman sosiobudaya dan strategi geopolitik.

Beliau menjelaskan bahawa rumpunisme merupakan sebuah identiti dan nilai yang dikongsi bersama masyarakat di ASEAN.

Antara amalan-amalan yang dikongsi dan dilakukan di antara masyarakat ASEAN adalah seperti persamaan dalam makanan seperti memakan nasi, keagamaan, keluarga, kerjasama bersama, ekonomi tradisional, naungan politik dan juga patrimoni.

Melalui aspek strategi geopolitik, sebagai pertubuhan serantau yang strategi di dunia, ASEAN perlulah menunjukkan hubungan mesra dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli bagi menjalinkan pandangan dasar luar biasa dalam mengurus kepentingan kongsi serantau di dunia.

Manakala itu, dalam aspek keseragaman sosiobudaya pula, negara anggota ASEAN perlulah mendidik satu sama yang lain bersama dengan pegawai-pegawai kerajaan masing-masing dan orang ramai mengenai dengan sosioekonomi dan politik masing-masing.

Kesimpulannya, dalam membangun sebuah rantau yang berdaya saing, ahli-ahli ASEAN perlu bekerjasama dalam merealisasikan strategik kelayakan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA