Bersedia bagi upacara menaikkan bendera besar

Bersedia bagi upacara menaikkan bendera besar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Julai – Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei ke-69 Tahun bagi Daerah Belait akan bermula dengan Upacara Menaikkan Bendera Besar pada 1 Ogos depan.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran upacara itu nanti, sesi latihan telah diadakan di kawasan lapang Cendera Kenangan di Kuala Belait, hari ini.

Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman hadir bagi meninjau latihan tersebut, di samping kakitangan dari Jabatan Daerah Belait serta ahli-ahli jawatankuasa upacara Hari Keputeraan.

Di antara peserta yang akan terlibat dalam upacara pada tahun ini ialah pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut II bagi persembahan hadrah, dari Sekolah Menengah Perdana Wazir bagi nyanyian koir, kadet-kadet polis dan askar dari beberapa sekolah di Daerah Belait ini, serta penglibatan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Diraja Brunei.

Kumpulan koir ketika membuat latihan bagi upacara menaikkan bendera besar pada 1 Ogos ini sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan.
Kumpulan koir ketika membuat latihan bagi upacara menaikkan bendera besar pada 1 Ogos ini sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan.

Pegawai Tugas-Tugas Khas II di Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Daerah Belait, Dayang Nurhaijah binti Haji Mohd Isa, berkata latihan berkenaan adalah yang pertama diadakan dan latihan menyeluruh akan diadakan pada hari Rabu.

Beliau menambah para penuntut sekolah menampakkan semangat patriotisme yang tinggi setelah habis menyambut sambutan Hari Raya dan memulakan sesi persekolahan mereka minggu ini.

ARTIKEL YANG SAMA