Bersedia galas cabaran

Bersedia galas cabaran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Atlet-atlet negara yang terpilih ke Sukan Olimpik ke-31 di Rio de Jenario, Brazil diingatkan supaya menjaga disiplin masing-masing dan menjauhi serta mematuhi akta dan peraturan ‘Anti-Doping’ yang dikuatkuasakan oleh World Anti-Doping Agency (WADA).

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda menyarankan mereka supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik ke-31, Rio di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini. Teks sabda Duli Yang Teramat Mulia dibacakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Tiga atlet negara berlepas ke Rio de Jenario untuk menyertai sukan Olimpik kali ini. Mereka ialah Mohd Fakhri bin Ismail yang akan menyertai acara 100 meter; Maizurah binti Abdul Rahim menyertai dalam acara 200 meter dan Jasper Woon Chai Yu menyertai acara perseorangan lelaki bagi sukan badminton.

Mohd Fakhri dan Maizurah merupakan penerima biasiswa atlet yang menjalani latihan Sukan Olimpik Rio 2016 dari International Olympic Committee (IOC) melalui Olympic Solidarity Fund bagi Program Olympic Scholarship for Athletes Rio 2016.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan bendera negara kepada Dayang Umi Kalthum.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan bendera negara kepada Dayang Umi Kalthum.

Biasiswa tersebut bertujuan untuk membantu atlet menjalani latihan dan meningkatkan prestasi masing-masing di samping menyertai kejohanan olahraga di peringkat antarabangsa dan serantau.

Menurut Duli Yang Teramat Mulia, penyertaan negara dalam Sukan Olimpik kali ini mencatat sejarah baru dan buat julung kalinya, negara di wakili oleh seorang atlet lelaki dalam acara Badminton.

“Atlet badminton kebangsaan negara telah menerima jemputan di bawah Tripartite Commisson Invitation Palace yang mana kuota diberikan oleh Badminton World Federation (BWF) melalui IOC yang mana pemilihannya berpandukan kepada ranking point pemain bagi zon Benua Asia”.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya juga mengingatkan kepada ketiga-tiga atlet negara, walaupun penyertaan ini dibiayai sepenuhnya oleh IOC, ia bukan satu perkara yang diambil ringan.

Ini merupakan tanggungjawab yang sangat berat tegas Duli Yang Teramat Mulia, kerana atlet sukan ini bukan saja menumpukan sepenuh perhatian kepada persaingan tapi bertanggungjawab untuk menjaga nama baik Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut menyeru atlet negara untuk mengambil peluang dan menimba ilmu pengetahuan serta bertukar-tukar fikiran dalam bidang sukan yang diceburi dan cuba sedaya upaya memanfaatkan program yang di susun oleh IOC dan tuan rumah sepanjang sukan ini.

Sekembali dari Rio nanti, sabda Duli Yang Teramat Mulia, atlet negara yang mengikuti sukan berkenaan setentunya akan lebih berpengalaman dan merasa lebih dewasa daripada sebelumnya serta sedikit sebanyak dapat menyumbang ke arah kecemerlangan di masa akan datang.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas sokongan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia juga merakamkan penghargaan kepada Hashimoto Corporation dan International Hala Recommended Association atas pakaian sukan dan beg sukan yang disumbangkan bagi kegunaan atlet dan kontinjen negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin berkata, persediaan yang rapi telah dibuat seperti latihan intensif, penyertaan atlet dalam kejohanan dalam dan luar negeri dan juga dokongan jitu daripada semua pihak khususnya ibu bapa, keluarga, majikan, jurulatih, persatuan sukan dan sebagainya. Bukan setakat itu saja, kaedah sains dan teknologi sukan juga merupakan salah satu aspek yang wajib diaplikasikan dalam mencapai kecemerlangan prestasi para atlet.

Yang Berhormat Pehin seterusnya melahirkan pera-saan yakin kepada para atlet yang sudah setentunya melengkapkan diri dari segi fizikal dan mental disamping menanamkan motivasi yang tinggi untuk terus bersaing, mendisiplinkan diri dan fokus sepenuhnya dalam perlawanan dan tidak gentar atau cemas di atas track atau gelanggang pada tempat perlawanan nanti.

Beliau juga gembira melihat perkembangan atlet olahraga pada sesi ‘uji masa’ atau ‘Time Trial’ yang diadakan pada hari Khamis, 28 Julai yang lalu dan berharap atlet negara akan menunjukkan prestasi yang lebih tinggi daripada penyertaan sebelumnya dan sekurang-kurangnya dapat memecahkan rekod kebangsaan negara dalam acara yang disertai.

Ini merupakan penyertaan negara kali ke-5 dalam Sukan Olimpik dan penyertaan terakhir Negara Brunei Darussalam adalah pada tahun 2012 di Sukan Olimpik ke-30 di London.

ARTIKEL YANG SAMA