Bersedia penuhi kualiti pekerjaan

Bersedia penuhi kualiti pekerjaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dalam usahanya untuk membantu para graduan yang sedang mencari pekerjaan, telah mengadakan ‘Market Day IBTE 2015’ di Dewan Pencapaian, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Kampung Rimba, Gadong, hari ini.

Acara berkenaan telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik) IBTE, Awang Habib Mohamad bin Haji Wan Junaidi dan akan berakhir esok (12 November).

Awang Habib Mohamad dalam ucapannya berkata, bagi mencapai misi institut berkenaan, IBTE pada masa ini sedang melalui proses transformasi dari Jabatan Pendidikan Teknikal ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei.

Dengan mengadakan Market Day ini, ia bertujuan untuk menjadikan IBTE sebagai rakan strategik dalam industri ekonomi di Negara Brunei Darussalam dengan menjadikan sebuah institusi pendidikan yang dipercayai mampu menghasilkan graduan yang mempunyai kemahiran yang betul, ujarnya.

Tambah beliau lagi, acara ini juga merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan pada tahun lepas di Kuala Belait dan tahun ini sebanyak 23 majikan yang berpotentsi telah menyertai acara ini yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan juga swasta.

Awang Habib Mohamad ketika menyampaikan ucapannya pada acara Market Day IBTE 2015 di IPA
Awang Habib Mohamad ketika menyampaikan ucapannya pada acara Market Day IBTE 2015 di IPA
Mereka yang menghadiri Market Day IBTE 2015 turut berpeluang untuk menyertai klinik menulis CV.
Mereka yang menghadiri Market Day IBTE 2015 turut berpeluang untuk menyertai klinik menulis CV.

Antara yang menyertainya adalah Kementerian Pertahanan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Perdana Sdn Bhd, TelBru, Bank Baiduri, G4S, Golden Cooperation, Penerbangan Diraja Brunei (RB), Grand Motors dan banyak lagi.

Beliau turut menyeru agar para graduan mempunyai tanggungjawab untuk memupuk kualiti yang dicari oleh bakal majikan mereka selain mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru bagi memenuhi permintaan perkerjaan.

Dalam acara itu juga, para graduan bukan sahaja didedahkan dengan peluang-peluang pekerjaan tetapi mereka juga diberi peluang menyertai klinik menulis Curriculum Vitae (CV) dan menghadiri sesi temuduga.

Bagi graduan-graduan yang berhasrat untuk menghadiri temuduga secara langsung adalah dinasihatkan agar membawa CV, dokumen yang berkaitan dan memakai pakaian yang bersesuaian.

ARTIKEL YANG SAMA