Bersepadu jaga kebersihan Daerah Tutong

Bersepadu jaga kebersihan Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 12 Ogos – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa prihatin dan sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya di Daerah Tutong, satu kempen kebersihan bersepadu telah diadakan pagi tadi di kawasan jalan-jalan utama sekitar daerah berkenaan.

Kempen tersebut telah melibatkan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan di Daerah Tutong termasuk Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan
Rekreasi (JASTRE), Jabatan Kerja Raya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perhutanan Daerah Tutong, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ketua rumah panjang Daerah Tutong, ahli-ahli majlis perundingan kampung dan mukim, penuntut-penuntut sekolah dan ahli-ahli sukarelawan di daerah itu.

Turut menyertai kempen itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Antara tujuan kempen tersebut diadakan adalah sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan kebersihan dan keindahan tempat-tempat yang menjadi kunjungan orang ramai di daerah ini di tahap yang memuaskan terutama semasa menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra bersama rakyat dan penduduk di Daerah Tutong bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-69 tahun yang bakal berlangsung pada 18 Ogos ini.

Selain itu, kempen bersepadu ini juga merupakan salah satu aktiviti dan program yang dilaksanakan di bawah jawatankuasa ‘Task Force’ untuk mempertingkatkan tahap kualiti kebersihan di daerah ini agar sentiasa dalam keadaan bersih, selesa dan indah.

Kempen kebersihan bersepadu yang dijalankan pagi kelmarin di kawasan persekitaran Daerah Tutong.
Kempen kebersihan bersepadu yang dijalankan pagi kelmarin di kawasan persekitaran Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA